
KUALA LUMPUR, 5 November – Penganjuran World Marketing Summit (WMS) Malaysia 2026 dilihat sebagai platform penting untuk memperkasa usahawan tempatan menerusi pendedahan kepada pemimpin perniagaan antarabangsa, selain membuka peluang meneroka pasaran global.
- Persidangan dirangka santai dan praktikal untuk membantu usahawan, terutamanya belia, memahami dan mengaplikasi ilmu dalam perniagaan.
- WMS menekankan penyertaan generasi muda melalui perkongsian ringkas, hos berasaskan AI dan elemen interaktif.
- AI dapat mengurangkan kos pemasaran PKS termasuk penghasilan kandungan digital, reka grafik dan promosi.
- Usahawan mesti menguasai AI sebelum kemunculan Quantum Intelligence; terus menimba ilmu untuk kekal relevan dan memaksimumkan keuntungan.
Presiden Kotler Impact, Datuk Dr Faridah Hanim Haron berkata, persidangan itu dirangka dengan pendekatan lebih santai dan praktikal bagi membolehkan usahawan, khususnya golongan muda, memahami serta mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam perniagaan masing-masing.
“Objektif utamanya adalah untuk membina keyakinan dan memperluas minda usahawan. Apabila mereka berpeluang menyertai persidangan di peringkat antarabangsa, mereka akan mula melihat diri mereka sebagai usahawan yang juga mampu membawa perniagaan ke peringkat global.
“Mereka akan berfikir, jika mereka sudah layak berada di persidangan antarabangsa, perniagaan yang dibangunkan juga pastinya berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa,” katanya ketika ditemui media di WMS, di sini.
Beliau berkata, WMS kali ini turut memberi tumpuan kepada penyertaan generasi muda menerusi perkongsian ringkas, penggunaan pengacara berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta elemen interaktif.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Kotler Impact Inc, Dr Sadia Kibria berkata, Malaysia berpotensi menjadi hab WMS ASEAN berikutan kedudukan strategiknya serta kepelbagaian budaya, sekali gus membuka peluang memperluas rangkaian pemasaran antarabangsa.
Mengulas penggunaan AI, beliau berkata teknologi itu mampu membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengurangkan kos pemasaran, termasuk penghasilan kandungan digital, reka bentuk grafik dan promosi.
“Di Kotler Impact, kami menyasarkan untuk melindungi minda masyarakat, khususnya golongan muda, daripada terpengaruh dengan maklumat tidak tepat atau mengelirukan yang dijana oleh AI. Mesej yang sentiasa kami tekankan ialah kita perlu mengutamakan penggunaan kecerdasan buatan, namun nilai kemanusiaan harus sentiasa menjadi keutamaan,”jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group, Profesor Adam Richman berkata, WMS 2026 membuka peluang kepada pengusaha dan pemasar tempatan mendapatkan pendedahan global agar industri pemasaran negara terus seiring perkembangan antarabangsa.
Beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan AI secara berlebihan dalam pemasaran boleh menghilangkan sentuhan emosi dan kreativiti manusia, sekali gus menjadikan kandungan terlalu artifisial.
“Usahawan perlu menguasai teknologi AI sebelum kemunculan Quantum Intelligence bagi mengelakkan diri daripada ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi. Mereka perlu terus menimba ilmu, mengikuti perkembangan semasa dan menterjemahkan idea kepada pelaksanaan kerana penguasaan teknologi mampu mengurangkan kos operasi serta memaksimumkan keuntungan,” jelasnya.