2.24 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya PLUS sempena Deepavali

Gambar fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 November – Sebanyak 2.24 juta kenderaan dijangka menggunakan rangkaian lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sepanjang cuti perayaan Deepavali dan persekolahan dari 7 hingga 10 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aliran trafik dijangka meningkat; orang ramai mula pulang hari ini, dan aliran memasuki Lembah Klang meningkat pada 9 dan 10 November.
  • Rujuk Jadual Cadangan Waktu Perjalanan MyPLUS (MyPLUS-TTA) melalui aplikasi PLUS bagi tempoh 5 hingga 10 November untuk merancang perjalanan.
  • PLUS aktifkan Smart Lane di 32 lokasi dan lorong tambahan; patuhi had laju, jarak selamat, serta hubungi PLUSLine 1800-88-0000 bagi bantuan kecemasan.

PLUS menerusi kenyataan memaklumkan, jumlah itu meningkat 17 peratus berbanding purata trafik harian biasa sebanyak 1.92 juta kenderaan.

Menurut PLUS, peningkatan trafik dijangka bermula hari ini apabila orang ramai mula pulang ke kampung halaman atau menuju ke destinasi percutian.

Manakala aliran trafik memasuki Lembah Klang dijangka meningkat pada 9 dan 10 November.

Sehubungan itu, pengguna disaran merujuk Jadual Cadangan Waktu Perjalanan MyPLUS (MyPLUS-TTA) menerusi aplikasi PLUS bagi tempoh 5 hingga 10 November bagi membantu merancang perjalanan.

Sementara itu, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dijangka mencatat peningkatan trafik lebih ketara sebanyak 68 peratus kepada 42,000 kenderaan sehari berbanding 25,000 kenderaan pada hari biasa.

Bagi melancarkan pergerakan trafik, PLUS turut mengaktifkan kemudahan Smart Lane di 32 lokasi terpilih yang dijangka mengalami peningkatan aliran kenderaan.

“Lorong tambahan turut disediakan bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak.

“Pengguna diingatkan supaya menggunakan Smart Lane hanya ketika diaktifkan, selain mematuhi had laju, mengekalkan jarak selamat dan mengikuti arahan petugas lebuh raya,” menurut kenyataan itu.

Maklumat trafik terkini boleh diperoleh menerusi aplikasi PLUS dan media sosial rasmi syarikat, manakala bantuan kecemasan melalui PLUSLine di talian 1800-88-0000.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.