Pendekatan lebih tersusun perkukuh keupayaan PKS tembusi pasaran antarabangsa

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 November – Pendekatan lebih tersusun diperlukan bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memperkukuh keupayaan perniagaan, khususnya untuk menembusi pasaran antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tingkatkan keupayaan PKS dari segi tenaga kerja, pengurusan, pelaburan peralatan dan pembiayaan untuk memenangi kontrak besar dan pasaran antarabangsa.
  • Keusahawanan bukan sekadar memulakan perniagaan; ia memerlukan pembinaan kapasiti, daya tahan dan keyakinan untuk pertumbuhan berterusan.
  • Pelaksanaan usaha melalui kerjasama kementerian, agensi dan pemain industri bagi menyokong perkembangan PKS.
  • Dasar dinilai berdasarkan merit dan keperluan sebenar, dirangka bersama input usahawan untuk pertumbuhan mampan dan manfaat komuniti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peluang memperoleh kontrak besar atau menembusi pasaran antarabangsa turut menuntut PKS meningkatkan keupayaan dari segi tenaga kerja, pengurusan, pelaburan peralatan dan pembiayaan tambahan.

“Keusahawanan bukan sekadar mengenai memulakan perniagaan, tetapi juga membina keupayaan, daya tahan dan keyakinan untuk membawa perniagaan itu terus berkembang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha berkenaan boleh dilaksanakan menerusi kerjasama semua pihak, termasuk kementerian, agensi dan pemain industri berkaitan.

Katanya, sebarang pendekatan yang dicadangkan perlu dinilai secara teliti berdasarkan merit, dengan mengambil kira inisiatif sedia ada serta keperluan sebenar sektor perniagaan.

Beliau turut menegaskan kepentingan mendapatkan pandangan langsung daripada golongan usahawan bagi memastikan merangka sokongan yang  benar-benar memenuhi keperluan mereka.

“Dasar yang baik bukan sahaja perlu mengambil kira apa yang diperlukan oleh sesebuah perniagaan, tetapi juga realiti sebenar yang dihadapi oleh mereka yang membangunkannya,” katanya.

Datuk Seri Fadillah berkata, usaha membantu PKS berkembang secara mampan bukan sahaja memberi manfaat kepada perusahaan berkenaan, malah mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda, meningkatkan kepastian pendapatan pembekal tempatan serta membuka lebih banyak peluang kerjaya dalam komuniti.

Justeru, katanya, kejayaan sesebuah perniagaan tidak seharusnya diukur berdasarkan saiz perusahaan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira sejauh mana pertumbuhannya mampu memberikan manfaat kepada masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.