
KUALA LUMPUR, 5 November – Jati Tinggi Group Berhad (Jati Tinggi) mengorak langkah ke dalam sektor penyimpanan tenaga menerusi projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) pertamanya bernilai RM2.9 juta.
- Projek diperoleh melalui usaha sama JTHSB dan Reactive Energy selepas menerima Surat Setuju Terima (LOA) daripada TNB.
- Sistem CESS dilaksanakan di bawah inisiatif Pulau Tenaga Hijau bagi rangkaian pengagihan TNB.
- Skop termasuk bekalan, pemasangan, ujian dan pentauliahan CESS 150 kW/430 kWh untuk integrasi dengan rangkaian pengagihan.
- Projek dijangka siap dalam 18 bulan; pengalaman ini memperkukuh kepakaran teknikal dan membuka peluang pertumbuhan BESS berskala lebih besar.
Projek diperoleh menerusi usaha sama antara anak syarikat milik penuhnya, Jati Tinggi Holding Sdn Bhd (JTHSB) dan Reactive Energy Sdn Bhd (RESB), selepas menerima Surat Setuju Terima (LOA) daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Projek Sistem Penyimpanan Tenaga Komuniti (CESS) itu dilaksanakan di bawah inisiatif Pulau Tenaga Hijau, Rangkaian Pengagihan TNB.
Skop kerja merangkumi pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem CESS berkapasiti 150 kilowatt (kW)/430 kilowatt-jam (kWh) untuk diintegrasikan dengan rangkaian pengagihan TNB.
Sistem berkenaan membolehkan lebihan tenaga solar disimpan untuk diguna semula apabila diperlukan, selain menyokong integrasi tenaga boleh baharu serta aplikasi luar grid dan mikrogrid.
Di bawah perjanjian usaha sama itu, JTHSB memegang 55 peratus kepentingan manakala RESB sebanyak 45 peratus, dengan kedua-dua pihak bertanggungjawab terhadap pelaksanaan dan penyiapan projek.
Projek dijangka siap dalam tempoh 18 bulan dari tarikh permulaan.
Pengarah Urusannya, Datuk Wira Lim Yeong Seong berkata, projek itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam strategi pengembangan perniagaan kumpulan, khususnya dalam memperluas keupayaan melangkaui infrastruktur tenaga konvensional.
Beliau berkata, pengalaman menerusi projek itu akan dimanfaatkan bagi memperkukuh kepakaran teknikal dan membina rekod pencapaian dalam penyelesaian BESS, sekali gus membuka peluang pertumbuhan baharu kepada kumpulan.
Seiring usaha Malaysia mempercepat peralihan tenaga, kumpulan itu turut melihat potensi pertumbuhan dalam penyelesaian penyimpanan tenaga, khususnya bagi menyokong penggunaan tenaga boleh baharu dan meningkatkan kebolehpercayaan grid.
Syarikat turut berhasrat memperluas keupayaannya bagi merebut peluang melaksanakan projek BESS berskala lebih besar pada masa hadapan.