
KUALA LUMPUR, 5 November – Sebanyak 262 sampel bahan api petrol RON95 telah diambil daripada lapan jenama stesen minyak di lapan negeri serta tiga depoh syarikat minyak setakat 31 Oktober lalu.
- 262 sampel RON95 diambil daripada lapan jenama stesen minyak, lapan negeri dan tiga depoh sehingga 31 Oktober.
- Sampel dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis bagi menyiasat dakwaan pencemaran yang dipercayai menyebabkan kerosakan enjin.
- Analisis baki sampel masih diteruskan dan laporan penuh hanya akan dikeluarkan selepas keseluruhan proses selesai.
- KPDN mengadakan sesi libat urus dengan syarikat minyak, dan pembayaran kerugian bakal dipertimbang untuk pengguna dengan aduan lengkap.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan sampel berkenan diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bertujuan menyiasat dakwaan pencemaran bahan api yang dipercayai mengakibatkan kerosakan enjinkenderaan.
“Laporan awal analisis terhadap 43 sampel yang diterima pada 29 Oktober lepas, mendapati kandungan air dalam semua sampel berkenaan berada di bawah 0.05%, iaitu di bawah had pengesanan minimum yang boleh dilaporkan.
“Bagaimanapun, analisis terhadap baki sampel masih diteruskan dan laporan penuh hanya akan dikeluarkan selepas keseluruhan proses selesai,”katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau turut menjelaskan KPDN telah mengadakan sesi libat urus bersama syarikat minyak terlibat bagi mengenal pasti isu pencemaran kualiti bahan api berkenaan.
“Pembayaran kerugian oleh syarikat minyak terlibat bakal dipertimbang kepada pengguna yang mengemukakan aduan lengkap berserta dokumen sokongan yang sah.
“Walaupun aduan melibatkan stesen minyak tertentu, siasatan terperinci akan dijalankan di setiap peringkat rantaian bekalan dan tindakan akan diambil sekiranya terdapat sebarang kesalahan,”katanya merujuk kepada pertanyaan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman.