Puting beliung landa Brazil, 34,000 premis terputus bekalan elektrik

Puting beliung yang melanda bandar Maringa / Foto VIORY

MARINGA, 5 November – Puting beliung kategori F2 melanda bandar Maringa, di barat laut negeri Parana, Brazil, awal pagi Isnin lalu, mengakibatkan ratusan pokok dan tiang elektrik tumbang serta puluhan ribu premis terputus bekalan elektrik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Simepar menganggarkan kelajuan angin antara 180 hingga 250 km/j berdasarkan Skala Fujita.
  • Kerajaan Parana lapor 862 pokok tumbang, 275 tiang elektrik rosak; 450 pokok dialihkan dan 169 tiang diganti.
  • Kira-kira 34,000 premis masih terputus bekalan elektrik, manakala bekalan kepada 54,000 premis telah dipulihkan.

Sistem Teknologi dan Pemantauan Alam Sekitar Parana (Simepar) menganggarkan kelajuan angin antara 180 hingga 250 kilometer sejam berdasarkan Skala Fujita.

Menurut Kerajaan Parana, sebanyak 862 pokok tumbang dan 275 tiang elektrik rosak dalam kejadian itu, dengan 450 pokok telah dialihkan dan 169 tiang elektrik diganti.

Kira-kira 34,000 premis masih terputus bekalan elektrik, manakala bekalan kepada 54,000 premis lain telah dipulihkan.

Pasukan penyelamat dan petugas perkhidmatan awam dikerahkan bagi membersihkan kawasan terjejas serta membaik pulih infrastruktur elektrik.

Sementara itu, Pertahanan Awam Parana melaporkan, 38 kawasan perbandaran turut terjejas akibat cuaca buruk sejak Ahad, termasuk angin kencang, hujan batu dan banjir kilat.

Simepar memaklumkan klasifikasi puting beliung itu masih tertakluk kepada perubahan selepas siasatan teknikal selesai.

Setakat ini, tiada kematian atau kemalangan serius dilaporkan. – VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.