
PETALING JAYA, 5 November -Usaha memperkukuh ekosistem inovasi negara perlu dipergiat bagi memastikan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi tempatan dapat diterjemahkan kepada nilai ekonomi, sekali gus meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.
- Kerjasama strategik antara universiti, industri, pelabur dan usahawan bagi mempercepat pengkomersialan teknologi.
- Sokongan menyeluruh diperlukan: pembangunan produk, pengesahan teknologi, pematuhan peraturan, kesiapan pelaburan dan akses pasaran.
- Perkukuhan keupayaan teknologi serta harta intelek tempatan, tumpuan pada semikonduktor, pembuatan termaju, penjagaan kesihatan dan tenaga bersih.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, usaha itu memerlukan kerjasama strategik antara universiti, industri, pelabur dan usahawan bagi mempercepat proses pengkomersialan teknologi serta memperluas penggunaan inovasi tempatan dalam sektor industri.
“Tumpuan turut diberikan kepada usaha memperbanyakkan perniagaan berorientasikan misi dalam sektor strategik seperti semikonduktor, pembuatan termaju, penjagaan kesihatan dan tenaga bersih.
“Pelaburan awam dalam penyelidikan mampu menjana pembangunan teknologi baharu, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
“Bagaimanapun, pengkomersialan teknologi bukan sekadar bergantung kepada penemuan saintifik, sebaliknya memerlukan sokongan menyeluruh meliputi pembangunan produk, pengesahan teknologi, pematuhan peraturan, persediaan pelaburan serta akses kepada pasaran,” katanya ketika berucap pada Persidangan Ekonomi Inovasi Universiti Malaya (UM) 2026 di sini, malam tadi.
Tambah beliau, Malaysia perlu terus memperkukuh keupayaan membangunkan teknologi sendiri serta memiliki harta intelek tempatan, selaras dengan aspirasi negara untuk beralih daripada pendekatan ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’.
Katanya, peralihan itu penting bagi memastikan Malaysia bukan sekadar menjadi hab pembuatan, sebaliknya berupaya menghasilkan teknologi dan inovasi sendiri yang mempunyai nilai komersial tinggi.
Dalam pada itu, potensi lebih 5,000 syarikat pemula niaga di negara ini terus diperkasakan menerusi sokongan industri dan pelabur bagi membantu syarikat berkenaan mengembangkan perniagaan serta menembusi pasaran antarabangsa.
Kerjasama rentas sempadan juga perlu diperluas bagi membuka lebih banyak peluang dalam pembangunan teknologi bersama, pengesahan pasaran serta akses kepada rangkaian industri global.