
KUALA LUMPUR, 5 November –Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyalurkan sumbangan wakalah berjumlah RM70,000 kepada 14 badan kebajikan dan surau media bagi membantu petugas industri berkenaan yang memerlukan.
- Sumbangan untuk memastikan kebajikan warga media dan petugas sokongan, terutamanya yang menghadapi kesukaran.
- Dr Zulkifli: penglibatan media penting tingkatkan kefahaman tentang zakat dan wakaf serta menjayakan kutipan dan agihan lebih cekap.
- Empat individu media menerima bantuan zakat untuk rawatan kesihatan dan pembelian kaki palsu; sumbangan juga disalurkan kepada RTM, Bernama, Media Prima, Malaysia Gazette dan NUJ.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada usaha memastikan kebajikan warga media termasuk petugas sokongan turut terbela, khususnya mereka yang berdepan kesukaran dalam kehidupan.
Beliau berkata penglibatan media memainkan peranan penting dalam meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai zakat dan wakaf, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kutipan serta pengagihan zakat yang lebih cekap dari tahun ke tahun.
“Alhamdulillah, bantuan daripada rakan-rakan medialah yang menyaksikan bagaimana peningkatan penggunaan bukan setakat kutipan dan juga agihan zakat yang semakin efisien dan semakin meningkat dari tahun ke tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media PPZ-MAIWP 2026 di sini, malam tadi.
Dalam perkembangan sama, empat individu dalam kalangan warga media turut menerima sumbangan zakat bagi membantu meringankan beban kewangan, menampung kos rawatan kesihatan serta pembelian kaki palsu.
Hadir sama, Pengarah Berita Bahagian Ehwal Semasa Radio Televisyen Malaysia (RTM), MD Shahri Saripan yang mewakili RTM menerima sumbangan berkenaan.
Sumbangan turut disalurkan kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Media Prima Berhad, Malaysia Gazette serta Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ).