Datuk Seri Fahmi temui pengurusan Media Mulia esok

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 4 November – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi Media Mulia, pemilik akhbar Utusan Malaysia, esok bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan syarikat itu yang melibatkan tenaga kerjanya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertemuan untuk meneliti keputusan pengurusan Media Mulia berhubung syarat Dana Inovasi Media agar bantuan tidak menyebabkan pemecatan pekerja.
  • Tindakan pengurusan akan diteliti untuk menentukan kelayakan menerima Dana Inovasi Media pusingan kedua bernilai RM30 juta.
  • Semua organisasi media dinasihatkan mengadakan perbincangan awal dengan kementerian sebelum mengambil langkah pengurangan tenaga kerja.

Pertemuan itu bertujuan meneliti keputusan pengurusan khususnya mengambil kira syarat yang ditetapkan kerajaan kepada organisasi media yang menerima Dana Inovasi Media supaya memanfaatkan bantuan berkenaan tanpa mengambil tindakan membuang pekerja.

Beliau berkata, kerajaan memahami Media Mulia sebagai sebuah syarikat swasta yang mempunyai pertimbangan korporat dan ekonomi dalam membuat keputusan, namun beliau tetap prihatin terhadap kesannya kepada kebajikan pengamal media.

“Insya-Allah, saya akan jumpa pihak pengurusan esok di Parlimen. Mereka ada memaklumkan ingin datang bertemu.

“Walaupun kita ambil maklum Utusan dimiliki oleh sebuah entiti bernama Media Mulia yang merupakan syarikat swasta, dan kita ambil maklum keputusan yang mereka ambil mungkin bersifat korporat, bersifat ekonomi.

“Tapi saya sangat prihatin sebagai menteri kerana sewaktu kita melaksanakan Dana Inovasi Media yang pertama, yang jumlahnya 30 juta ringgit, syarat yang saya sampaikan kepada semua sidang redaksi dan ketua editor ialah manfaatkan sepenuhnya, tapi jangan buang pekerja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Ramah Mesra Deepavali Perdana Menteri di Bazar Mega di Brickfields, hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Fahmi berkata tindakan pengurusan Media Mulia itu juga akan diteliti dari segi kelayakan syarikat berkenaan untuk menerima Dana Inovasi Media bagi pusingan kedua yang baru diumumkan, dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta.

“Jadi, kita kena teliti. Mungkin dengan tindakan pengurusan, maka mungkin pengurusan tidak lagi layak untuk menerima Dana Inovasi Media bagi round kedua,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta semua organisasi media yang berdepan masalah sehingga berkemungkinan perlu membuat keputusan berkaitan pengurangan tenaga kerja supaya mengadakan perbincangan dengan kementerian lebih awal.

“Dan saya ingin maklumkan ada syarikat-syarikat media yang dah datang awal jumpa saya. Bukan sampai tahap dah nak cutikan pekerja, baru nak jumpa,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.