Kerajaan perkukuh kesiapsiagaan hadapi serangan hibrid

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 4 November – Kerajaan menggerakkan pelbagai agensi keselamatan, kewangan, komunikasi dan perdagangan bagi meneliti tahap kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman serangan hibrid berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Arahan Perdana Menteri: Ketua Setiausaha Negara dan MKN menyelaras penilaian risiko serangan hibrid berasaskan AI serta kesiapsiagaan negara.
  • Tumpuan kepada keselamatan rantaian bekalan dan keterjaminan makanan susulan kejadian penggodaman peti sejuk pintar di Eropah.
  • Kementerian Komunikasi dan MCMC tingkatkan keselamatan siber telekomunikasi, bina sistem amaran awal dan jalankan latihan simulasi merentasi sektor.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Ketua Setiausaha Negara supaya menyelaras penelitian bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi berkaitan bagi mengenal pasti risiko serta tahap kesiapsiagaan negara.

Antara agensi yang terlibat, ialah Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Susulan arahan Perdana Menteri kepada Ketua Setiausaha Negara, penelitian akan dilaksanakan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan melibatkan pelbagai agensi, termasuk Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Langkah itu bertujuan menilai kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman serangan hibrid, termasuk oleh pihak bukan negara (non-state actors) yang menyalahgunakan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) untuk menggodam sistem dan menjejaskan rantaian bekalan domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Ramah Mesra Deepavali Perdana Menteri di Bazar Mega di Brickfields, hari ini.

Datuk Seri Fahmi berkata, kebimbangan terhadap ancaman itu turut mengambil kira kejadian penggodaman peti sejuk pintar di Eropah yang dilaporkan mengakibatkan stok makanan simpanan di beberapa pasar raya di negara berkenaan rosak.

Katanya, Perdana Menteri telah membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat MKN pada Isnin lepas sebagai antara isu yang memerlukan penelitian serius, khususnya berkaitan keselamatan bekalan makanan.

Beliau berkata jika sebelum ini kerajaan memberi tumpuan kepada kesan ekonomi susulan krisis dan konflik di Asia Barat menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), kini perhatian turut diberikan kepada aspek keselamatan rantaian bekalan dan keterjaminan makanan melalui MKN.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Fahmi berkata Kementerian Komunikasi turut diberikan tanggungjawab meneliti tahap keselamatan siber rangkaian telekomunikasi dan penyiaran bagi memastikan infrastruktur komunikasi negara bersedia menghadapi sebarang kemungkinan serangan.

Beliau berkata MCMC juga sedang menyediakan sistem amaran awal yang bukan sahaja bertujuan menyampaikan maklumat bencana kepada penduduk di kawasan terjejas, malah berpotensi digunakan sebagai saluran penyampaian maklumat rasmi kerajaan secara terus ke telefon bimbit rakyat.

“MCMC turut menyediakan sistem amaran awal yang pada asalnya bertujuan menyalurkan maklumat berkaitan bencana kepada penduduk di kawasan terjejas, namun berpotensi diperluas sebagai saluran penyampaian maklumat rasmi kerajaan secara terus ke telefon bimbit rakyat di seluruh negara,” katanya.

Datuk Seri Fahmi berkata, beberapa siri latihan simulasi atau ‘stress test’ akan diadakan dalam masa terdekat merentasi pelbagai sektor bagi menguji tahap kesiapsiagaan serta mengenal pasti kelemahan yang perlu ditangani.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.