250 pemimpin dalam dan luar negara dijangka hadiri Forum Ekonomi Perak 2026

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 4 November – Isu penuaan sihat dan potensinya sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi bakal menjadi fokus utama Forum Ekonomi Perak (SEF) 2026 yang berlangsung pada 11 dan 12 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dijadual menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan forum.
  • Tema "Healthy Longevity for Economic Growth" menekankan pelaburan penjagaan kesihatan, kemudahan warga emas, penyertaan tenaga kerja dan inovasi.
  • Perubahan demografi Asia Pasifik mendesak tindakan; penduduk 60+ Malaysia dijangka meningkat kepada 17.3 peratus menjelang 2040.
  • Forum menjadi platform kerjasama kerajaan dan sektor swasta untuk pembiayaan, jaringan strategik dan penyelesaian meningkatkan kualiti hidup warga emas.

Forum berkenaan dijadual menghimpunkan antara 200 hingga 250 pemimpin dari dalam dan luar negara, melibatkan wakil kerajaan, sektor perniagaan serta pelbagai institusi.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dijadual menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan forum yang julung kali dianjurkan di Asia itu.

Menurut kenyataan bersama The Global Coalition on Aging (GCOA) dan Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS), titah baginda akan menekankan kepentingan penuaan sihat dan pembangunan ekonomi perak dalam memastikan kemakmuran Malaysia serta rantau ASEAN pada masa hadapan.

Bertemakan ‘Healthy Longevity for Economic Growth’, forum itu turut memberi tumpuan kepada keperluan memperkukuh pelaburan dalam sektor penjagaan kesihatan, kemudahan penjagaan warga emas, penyertaan tenaga kerja dan inovasi.

Keperluan itu semakin mendesak berikutan perubahan demografi di rantau Asia Pasifik yang menyaksikan peningkatan populasi warga emas antara paling pesat di dunia.

Di Malaysia, penduduk berusia 60 tahun ke atas diunjurkan meningkat daripada 11.6 peratus pada 2024 kepada 17.3 peratus menjelang 2040.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif GCOA, Michael Hodin berkata, perubahan demografi itu perlu dilihat sebagai peluang ekonomi yang memerlukan perancangan strategik daripada kerajaan dan sektor perniagaan.

Menurutnya, menjadikan penuaan sihat sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan mampu merangsang pembaharuan dalam sektor kesihatan, pasaran pekerjaan dan inovasi.

Beliau berkata, forum itu turut membincangkan pendekatan praktikal termasuk penyediaan perkhidmatan penjagaan, pembiayaan penjagaan kesihatan pencegahan, pembangunan pasaran ekonomi perak serta penyesuaian persekitaran kerja bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang semakin berusia.

Sementara itu, Presiden MHAS, Prof. V. Nathan berkata, SEF 2026 menjadi platform penting untuk memperluas kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam menangani cabaran perubahan struktur penduduk.

Katanya, perkongsian kepakaran, pembentukan jaringan strategik dan penerokaan peluang pelaburan mampu menghasilkan penyelesaian yang lebih berkesan bagi meningkatkan kualiti hidup warga emas.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri turut dijadual menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Building Malaysia’s Silver Economy’ pada hari kedua forum.

Beliau berkata, perubahan demografi memerlukan pendekatan menyeluruh dengan mengiktiraf populasi warga emas sebagai aset yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Antara pemimpin lain yang dijadual menghadiri forum itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Wakil Kementerian Kesihatan serta barisan penceramah antarabangsa turut dijangka menyertai forum berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.