
KUALA LUMPUR, 4 November – Kerajaan memberi jaminan bahawa pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tidak akan menyebabkan sebarang kelompangan perundangan.
- Pemansuhan AUKU mesti dilaksanakan secara tersusun dan menyeluruh kerana akta itu asas perundangan penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti awam.
- KPT melaksanakan dua langkah segera berkuat kuasa 27 Ogos untuk melindungi kebebasan pelajar semasa proses penggubalan kerangka baharu.
- Langkah pertama: menghentikan prosiding tatatertib berkaitan kebebasan bersuara, menyatakan pandangan, kritikan awam serta perhimpunan aman.
- Langkah kedua: meneliti pindaan bersasar Seksyen 15 hingga 16B untuk memperluas kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan pelajar.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, pemansuhan akta itu perlu dilaksanakan secara tersusun dan menyeluruh memandangkan AUKU turut menjadi asas perundangan bagi penubuhan, pentadbiran serta tadbir urus universiti awam.
Menurutnya, sementara proses penggubalan kerangka perundangan baharu sedang berjalan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengambil dua langkah segera yang berkuat kuasa pada 27 Ogos lalu.
“Langkah pertama, menghentikan semua prosiding tatatertib di universiti awam yang berkaitan dengan kebebasan bersuara, menyatakan pandangan, kritikan awam serta perhimpunan secara aman.
“Langkah kedua, melaksanakan penelitian terhadap pindaan bersasar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), khususnya peruntukan Seksyen 15 hingga Seksyen 16B yang berkaitan dengan pelajar, bagi memperluas ruang kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera) yang meminta penjelasan mengenai prinsip utama cadangan penggubalan Akta Satu Pendidikan Tinggi atau One Higher Education Act (OHEA) yang terkandung dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia.
Jelas Adam Adli, langkah berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperluas kebebasan mahasiswa serta memperkukuh tadbir urus universiti, selaras dengan usaha memperbaharui landskap pendidikan tinggi negara.
Usaha itu juga perlu disegerakan tanpa perlu menunggu keseluruhan proses penggubalan akta baharu dimuktamadkan.