
KUALA LUMPUR, 4 November – Kerajaan Malaysia dan Nepal sedang mengadakan rundingan di peringkat perundangan bagi mempercepatkan proses pengesahan dokumentasi rasmi mangsa tragedi banjir di sempadan Nepal-Tibet.
- Usaha mempercepatkan pengesahan status mangsa supaya waris tidak perlu menunggu sehingga tujuh tahun untuk tuntutan insurans dan pewarisan.
- Kelewatan pengesahan menjejaskan urusan perniagaan keluarga, termasuk pembayaran gaji pekerja dan keputusan meneruskan atau menutup perniagaan.
- Kerajaan melalui ICU, Jabatan Perdana Menteri dan PERKESO komited menyalurkan bantuan segera serta sokongan berterusan kepada waris.
Usaha itu bertujuan mengelakkan waris mangsa daripada menunggu sehingga tujuh tahun, iaitu tempoh lazim yang ditetapkan bagi kes melibatkan individu hilang tanpa jasad atau tertakluk kepada kekangan perundangan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, perbincangan itu membabitkan kerjasama antara Ketua Peguam Negara kedua-dua negara bagi mencari mekanisme penyelesaian lebih pantas demi kebajikan keluarga mangsa.
Menurut beliau, proses pengesahan status mangsa yang hilang boleh mengambil masa bertahun-tahun sekiranya mengikut prosedur perundangan sedia ada, sekali gus menjejaskan urusan pewarisan dan tuntutan pampasan.
“Sebagai contoh, bagi kes individu yang hilang, tempoh had masa (time-bar) yang ditetapkan boleh mencecah tujuh tahun.
“Justeru, kita sedang berusaha mempercepatkan proses berkenaan menerusi perbincangan antara Ketua Peguam Negara kedua-dua negara supaya waris tidak perlu menunggu sehingga tujuh tahun untuk membuat tuntutan insurans, selain menguruskan segala persiapan dan urusan lain yang berkaitan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada Waris Mangsa Bencana Banjir Nepal di Menara PERKESO, hari ini.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, kelewatan pengesahan status mangsa turut boleh menjejaskan kelangsungan perniagaan keluarga, termasuk urusan pembayaran gaji pekerja.
Jelas beliau, status perundangan yang belum dimuktamadkan menyukarkan waris menentukan hala tuju perniagaan, sama ada untuk meneruskannya atau sebaliknya, sekali gus berpotensi menimbulkan kesan kewangan berpanjangan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan menerusi pelbagai agensi termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan PERKESO komited menyalurkan bantuan segera serta sokongan berterusan kepada keluarga mangsa tragedi berkenaan.