
KUALA LUMPUR, 4 November – Kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) negara kini mencapai hampir 32 peratus atau kira-kira 14 gigawatt setakat pertengahan 2026, menghampiri sasaran 35 peratus menjelang 2030.
- Pencapaian menjadi asas kukuh untuk melaksanakan NETR dan mencapai sasaran 70 peratus kapasiti TBB menjelang 2050.
- Keperluan pelaburan berterusan dalam sektor penjanaan, rangkaian grid dan peningkatan fleksibiliti sistem elektrik.
- Inisiatif meluaskan penyertaan sektor industri, perniagaan dan isi rumah termasuk program Solar ATAP serta Skim CRESS.
- Pembangunan storan bateri MyBESS dan komponen LSS6 diperlukan untuk kestabilan bekalan serta mengurus ketidaktentuan TBB.
Setiausaha Bahagian (Tenaga Lestari) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Rosmahyuddin Baharuddin berkata, pencapaian itu menjadi asas penting untuk memperkukuh agenda peralihan tenaga negara sebelum mencapai sasaran jangka panjang 70 peratus kapasiti TBB menjelang 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Proses ini menyediakan asas yang kukuh untuk fasa pelancaran yang seterusnya. Bagaimanapun, usaha untuk mencapai sasaran yang ditetapkan bakal menuntut pelaburan yang berterusan dalam sektor penjanaan, rangkaian grid, serta fleksibiliti sistem,” katanya ketika berucap pada Clean Energy Transition Asia (CETA) 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Katanya, kerajaan turut memperluas penyertaan sektor industri, perniagaan dan isi rumah menerusi pelbagai mekanisme termasuk program Solar ATAP dan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).
Dalam pada itu, Belanjawan 2027 turut menggariskan cadangan penyediaan kapasiti 150 megawatt di bawah program Solar Berskala Besar (LSS6) khusus untuk syarikat bumiputera, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pemain tempatan menyertai industri tenaga bersih.
Rosmahyuddin berkata, pengukuhan keselamatan tenaga turut memerlukan pembangunan sistem penyimpanan tenaga bateri bagi menangani ketidaktentuan penjanaan TBB dan memastikan kestabilan sistem elektrik.
“Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk tender MyBESS berkapasiti 400 megawatt dengan keupayaan penyimpanan 1,600 megawatt-jam serta komponen penyimpanan bateri di bawah LSS6 berkapasiti 1,250 megawatt dan 5,000 megawatt-jam.
“Selain pembangunan domestik, Malaysia turut memperkukuh kerjasama tenaga serantau menerusi Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid), termasuk pembangunan konsep sambungan elektrik Vietnam-Malaysia-Singapura (VMS) yang dicadangkan berkapasiti kira-kira 1.3 gigawatt,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu bertujuan memperluas perdagangan elektrik rentas sempadan dan mengoptimumkan sumber tenaga serantau, namun pelaksanaannya masih memerlukan penilaian kebolehlaksanaan, pembangunan infrastruktur serta penyelarasan peraturan antara negara terlibat.