
KUALA LUMPUR, 4 November – Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) menubuhkan Lembaga MediAsas bebas bagi menyediakan pengawasan dan pemantauan terhadap pelaksanaan pelan perlindungan perubatan asas itu menjelang pelaksanaan di seluruh negara pada akhir Januari 2027.
- Lembaga bertanggungjawab membuat keputusan mengenai pelaksanaan, pentadbiran dan prestasi MediAsas; melindungi kepentingan awam serta memastikan kemampanan jangka panjang.
- Dipengerusikan Profesor Emeritus Datuk Dr Norma Mansor dengan anggota pakar tempatan, wakil ex-officio Kementerian Kesihatan, Kewangan dan Bank Negara, serta sokongan ProtectHealth.
- Mendapat nasihat pakar antarabangsa Profesor Dr Winnie Yip dan penasihat teknikal Datuk Jessica Chew untuk sokongan teknikal dan strategi pelaksanaan.
- Belanjawan 2027 memperluas akses perlindungan asas, menawarkan pelepasan cukai untuk premium dan peruntukan RM40 juta untuk galakan pengambilan dalam PKS.
Lembaga itu akan bertanggungjawab membuat keputusan berhubung aspek utama MediAsas, termasuk pelaksanaan, pentadbiran dan prestasinya, selain memastikan kepentingan awam dilindungi serta kemampanan jangka panjang pelan berkenaan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penubuhan lembaga itu penting bagi memastikan reformasi penjagaan kesihatan swasta terus memberikan manfaat dan hasil lebih baik kepada pesakit.
Beliau berkata Lembaga MediAsas akan menggabungkan perspektif sektor penjagaan kesihatan dan industri bagi membantu mengurus kos perkhidmatan dengan lebih berkesan, memastikan perlindungan mudah diakses serta menyokong penyampaian penjagaan kesihatan yang lebih baik dalam jangka panjang.
“Reformasi penjagaan kesihatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan pada akhirnya perlu memberikan manfaat dan hasil yang lebih baik kepada pesakit.
“Lembaga ini akan memainkan peranan penting dalam memastikan MediAsas terus berpaksikan matlamat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lembaga itu dipengerusikan Profesor Emeritus Datuk Dr Norma Mansor, dengan keanggotaan terdiri daripada Profesor Dr Elil Renganathan, Datuk Hamidah Naziadin, Ivan Loh Ee Hoe, Serena Thio Hui Ming dan Profesor Dr Woo Yin Ling.
Ia turut dianggotai wakil ex-officio daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia, manakala Pejabat MediAsas yang dikendalikan ProtectHealth Corporation akan memberikan sokongan operasi.
Lembaga berkenaan turut mendapat khidmat nasihat pakar antarabangsa Profesor Dr Winnie Yip dari Harvard T.H. Chan School of Public Health serta penasihat teknikal Datuk Jessica Chew, bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia.
Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penubuhan lembaga bebas itu akan menyediakan asas kukuh bagi memastikan kejayaan MediAsas ketika beralih daripada fasa rintis kepada pelaksanaan di seluruh negara.
Beliau berkata kepelbagaian kepakaran anggota lembaga berkenaan akan menjadi panduan dalam memastikan pelaksanaan dan prestasi MediAsas terus dipantau, selain melindungi kepentingan awam serta menjamin kemampanan pelan itu.
“Lembaga bebas ini akan menyediakan pengawasan strategik terhadap pelaksanaan dan prestasinya, melindungi kepentingan awam serta membantu memastikan kemampanan pelan ini dalam jangka panjang,” katanya.
Dalam pada itu, langkah di bawah Belanjawan 2027 turut dirangka bagi memperluas akses kepada perlindungan perubatan asas, khususnya bagi golongan yang mempunyai perlindungan insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) terhad atau tidak mempunyai perlindungan sedia ada.
Premium atau caruman bagi perlindungan yang dibeli untuk individu dan ahli keluarga terdekat mereka layak mendapat pelepasan cukai pendapatan, manakala peruntukan RM40 juta disediakan bagi menggalakkan pengambilan perlindungan dalam kalangan pekerja perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai kurang daripada 75 pekerja.
Selain MediAsas, JBMKKS turut mempergiat reformasi di bawah Strategi RESET bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan swasta.
Antara inisiatif yang sedang dibangunkan ialah rangka kerja pengebilan seragam bagi hospital swasta yang diterajui Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), bertujuan meningkatkan ketelusan dan keseragaman caj serta memudahkan pesakit membuat perbandingan kos perkhidmatan.
JBMKKS turut menghargai sumbangan Jawatankuasa Protokol dan Penyelesaian Rakan Kerjasama Penjagaan Kesihatan (HPPSC), termasuk usaha memperkukuh komunikasi melalui penyediaan talian khas antara doktor serta meningkatkan ketelusan proses pelantikan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pengamal perubatan sebagai ahli panel.