Pusat Data : TNB berupaya sedia kapasiti bekalan tambahan

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika menyampaikan ucaptama pada AWS Cloud and AI Day 2026 / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 November – Tenaga Nasional Berhad (TNB) berupaya menyediakan kapasiti bekalan tenaga tambahan bagi menyokong perkembangan industri pusat data di negara ini tanpa menjejaskan bekalan yang diperuntukkan kepada 27 industri utama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekurangan bekalan turbin global menyebabkan kelewatan dalam penyediaan kapasiti tenaga untuk pusat data.
  • TNB mempergiat pembangunan tenaga boleh baharu termasuk solar, bateri dan hidro untuk mempelbagaikan portfolio penjanaan negara.
  • Kerajaan menetapkan sekurang-kurangnya 30% kandungan tempatan; 117 pusat data diluluskan, 55 beroperasi; kapasiti dianggarkan 23,400 MW.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia turut berpotensi memanfaatkan sumber gas asli bagi menjana tenaga untuk menyokong operasi pusat data, memandangkan negara merupakan antara lima pengeksport gas terbesar dunia.

Bagaimanapun, katanya, terdapat sedikit kelewatan dalam penyediaan kapasiti tenaga berikutan kekurangan bekalan turbin di peringkat global.

Sehubungan itu, TNB turut mempergiat pembangunan sumber tenaga boleh baharu termasuk solar, bateri dan hidro bagi mempelbagaikan portfolio penjanaan tenaga negara.

Beliau berkata, pembangunan pusat data penting bagi menyokong penggunaan teknologi masa depan dalam 27 industri utama, termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi dan robotik yang mampu meningkatkan produktiviti serta daya saing industri tempatan.

“Apabila kita membangunkan pusat data, kita mahu memastikan industri ini tidak boleh dipisahkan daripada 27 industri yang kita ada kerana ia merupakan teknologi masa depan yang perlu digunakan dalam setiap aktiviti industri berkenaan.

“Kita perlu memanggil pelabur untuk membangunkan infrastruktur ini kerana kerajaan tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membinanya sendiri. Pelabur luar mempunyai modal dan apabila mereka datang, Malaysia sebagai negara tuan rumah turut mendapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Amazon Web Services (AWS) Cloud and AI Day 2026, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Johari berkata, kerajaan menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan bagi pembangunan pusat data bagi memastikan syarikat Malaysia berpeluang menyertai rantaian bekalan industri berkenaan.

“Setakat ini, sebanyak 117 pusat data telah diluluskan, dengan 55 daripadanya mula beroperasi, manakala selebihnya masih dalam peringkat perancangan dan pembinaan.

Beliau berkata, apabila kesemua pusat data itu siap, jumlah keperluan kapasiti tenaga dianggarkan mencecah 23,400 megawatt (MW),” katanya lagi.

Pembangunan infrastruktur berkenaan juga dijangka membuka lebih banyak peluang penggunaan teknologi dalam sektor pendidikan, pentadbiran kerajaan dan pengurusan komuniti, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.