SPNB teliti kerjasama strategik perkasa pembinaan RMR

Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 November – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sedang meneliti kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta bagi meningkatkan kapasiti pembinaan Rumah Mesra Rakyat (RMR).

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan RMR ditingkatkan kepada RM500 juta setahun bermula 2024, jumlah tertinggi sejak pelaksanaan program.
  • Inisiatif kerjasama strategik bertujuan mempercepat penyediaan rumah dan mengurangkan jumlah pemohon dalam senarai menunggu.
  • Permohonan RMR sangat tinggi sementara siling peruntukan terhad, menyebabkan keperluan kolaborasi untuk tingkatkan kapasiti.
  • Pembinaan RMR terbuka kepada semua warganegara termasuk masyarakat orang asli, tertakluk kepada syarat program.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata inisiatif itu bertujuan mempercepatkan penyediaan rumah dan mengurangkan jumlah pemohon yang masih berada dalam senarai menunggu susulan permintaan tinggi terhadap program berkenaan.

“Permohonan RMR ini tinggi, tetapi siling peruntukan yang disediakan ialah RM500 juta setahun. RM500 juta setahun ini merupakan peruntukan tertinggi sepanjang pelaksanaan program berkenaan sejak Rancangan Malaysia Ke-8.

“Sebelum ini, hanya RM300 juta hingga RM400 juta sahaja. Bermula 2024, peruntukannya meningkat sebanyak RM500 juta. Menerusi hasil kolaboratif itu nanti, kita dapat mempercepatkan penyediaan RMR dan mengurangkan senarai menunggu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib.

Dalam sesi sama, Datuk Aiman turut memaklumkan pembinaan RMR terbuka kepada seluruh wargananegara Malaysia, termasuk masyarakat orang asli.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan bagi program berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.