Raja Muda Perlis tekankan profesionalisme 717 guru agama

Foto RTM

KANGAR, 3 November – Seramai 717 guru agama di Perlis yang memiliki Tauliah Umum dan Tauliah Mengajar Al-Quran digesa terus memperkukuh peranan dalam membimbing masyarakat memahami serta mengamalkan ajaran Islam dengan tepat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Guru agama wajib membentuk akhlak, menyemai nilai murni dan mendidik generasi muda.
  • Perlu menilai kesahihan sumber, memahami konteks dan berpandukan rujukan agama yang muktabar.
  • Profesionalisme diterapkan melalui persediaan rapi, ketepatan masa, komunikasi berkesan, kesantunan serta keterbukaan menerima teguran.
  • Simposium dan penganugerahan tauliah meningkatkan kualiti penyampaian ilmu, memperkukuh profesionalisme dan menambahbaik pendekatan dakwah.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, tanggungjawab guru agama bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah turut merangkumi usaha membentuk akhlak, menyemai nilai murni dan mendidik generasi muda.

“Guru agama perlu berupaya menilai kesahihan sumber, memahami konteks serta memastikan setiap penjelasan yang diberikan berlandaskan rujukan agama yang muktabar.

“Selain penguasaan ilmu dan teknologi, profesionalisme juga perlu diterapkan melalui persediaan rapi, ketepatan masa, komunikasi berkesan, kesantunan serta keterbukaan menerima pandangan dan teguran.

“Semua aspek ini penting bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap penyampaian ilmu dan bimbingan yang diberikan oleh guru agama,” titah baginda pada Majlis Perasmian Simposium Guru Agama dan Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis Tahun 2026 di Dewan Warisan, Kangar.

Majlis anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu turut menyaksikan penganugerahan tauliah kepada 43 penerima.

Simposium berkenaan menjadi platform untuk meningkatkan kualiti penyampaian ilmu agama, memperkukuh profesionalisme guru serta menambah baik pendekatan dakwah agar kekal relevan dengan keperluan semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.