
KUALA LUMPUR, 3 November- Kerajaan memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global, termasuk konflik berpanjangan di Asia Barat dan ketegangan keselamatan di Eropah yang meningkatkan risiko pelbagai bentuk ancaman terhadap negara.
- Memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi.
- Meningkatkan kesiapsiagaan terhadap pelbagai ancaman dalam dan luar negara termasuk serangan siber dan sabotaj.
- Memperkukuh perlindungan infrastruktur kritikal dan sektor strategik: tenaga, pengangkutan, kewangan, bekalan makanan.
- Memperkukuh kesiapsiagaan dan kesedaran rakyat serta masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu turut merangkumi peningkatan perlindungan terhadap infrastruktur kritikal dan sektor strategik negara susulan perkembangan konflik antarabangsa yang semakin kompleks.
Beliau berkata ancaman keselamatan kini tidak lagi terhad kepada peperangan konvensional, sebaliknya turut melibatkan serangan siber serta sabotaj terhadap infrastruktur kritikal.
Sehubungan itu, beliau menggariskan empat pendekatan utama bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan negara, merangkumi penyelarasan antara kementerian dan agensi, kesiapsiagaan menghadapi pelbagai bentuk ancaman, perlindungan infrastruktur serta sektor strategik dan kesiapsiagaan rakyat.
“Pertama, memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi. Kedua, meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi pelbagai bentuk ancaman dalam dan luar negara.
“Ketiga, memperkukuh perlindungan terhadap infrastruktur dan sektor strategik negara termasuk tenaga, pengangkutan, kewangan dan bekalan makanan. Keempat, kesiapsiagaan rakyat dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kenyataan berhubung tahap kesiapsiagaan keselamatan negara dalam menghadapi perkembangan konflik geopolitik serta ketegangan keselamatan serantau dan antarabangsa, pada sesi penerangan sebelum Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beberapa rangkaian pasar raya di Sweden, Belgium dan Luxembourg dilaporkan menjadi sasaran serangan siber pada Isnin, yang menjejaskan sistem penyejukan peti sejuk dan peti beku.
Serangan itu menyebabkan suhu unit penyimpanan meningkat sehingga beberapa premis terpaksa mengeluarkan produk makanan daripada jualan bagi mengelakkan risiko keselamatan makanan.
Insiden berkenaan turut meningkatkan kebimbangan pihak berkuasa Eropah terhadap ancaman hibrid yang boleh mengganggu rantaian bekalan makanan dan menjejaskan keyakinan pengguna.