Hospital di Dhaka sesak akibat lonjakan denggi

Gambar Hiasan /RTM

BANGLADESH, 3 November – Dhaka berdepan peningkatan kes denggi apabila hospital di seluruh Bangladesh semakin sesak, sehingga pesakit terpaksa ditempatkan di atas tilam di lantai dan koridor akibat kekurangan katil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kelewatan keputusan ujian dan barisan panjang menyebabkan pesakit dan keluarga menunggu berhari-hari.
  • Timbalan pengarah: pesakit peringkat awal boleh dirawat di rumah; penduduk digesa bersihkan takungan air bagi kawal pembiakan nyamuk Aedes.
  • Sehingga 31 Oktober, 419 kematian; Oktober catat 174 korban. 135,000 pesakit dimasukkan, 6,236 masih menerima rawatan.

Rakaman video di Hospital Kolej Perubatan Mugda menunjukkan keadaan pesakit di lantai berlindung di bawah kelambu, manakala ahli keluarga memenuhi koridor ketika petugas kesihatan sibuk memberikan rawatan.

Kesesakan itu menambah kesukaran pesakit dan keluarga yang terpaksa beratur panjang serta menunggu keputusan ujian perubatan selama beberapa hari.

Seorang pesakit, Sayed Hossain, memaklumkan beliau perlu menunggu satu hingga dua jam bagi setiap perkhidmatan hospital dan mengalami kelewatan keputusan ujian, walaupun berpuas hati dengan rawatan doktor.

Seorang lagi pesakit, Faijul Islam, berkata ibunya kini berisiko dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), manakala empat ahli keluarga lain turut dijangkiti dan dirawat di rumah.

Timbalan Pengarah hospital berkenaan, Dr Muhammad Nurul Islam, menjelaskan pesakit peringkat awal lazimnya boleh dirawat di rumah dengan pemantauan sesuai, manakala kes serius perlu dirawat di hospital.

Beliau turut menggesa penduduk membersihkan kawasan takungan air bagi mengawal pembiakan nyamuk Aedes, sekali gus mengurangkan kes dan kematian.

Sehingga 31 Oktober, denggi telah meragut 419 nyawa di Bangladesh tahun ini, dengan Oktober menjadi bulan paling buruk selepas mencatatkan 174 kematian.

Daripada kira-kira 135,000 pesakit yang dimasukkan ke hospital di seluruh negara tahun ini, seramai 128,345 orang telah dibenarkan keluar manakala 6,236 lagi masih menerima rawatan. -VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.