
KUALA LUMPUR, 2 November – Polis akan merujuk kertas siasatan kes kematian tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Rabu ini, bagi mendapatkan arahan dan tindakan lanjut.
- Kecederaan fizikal pada mangsa disahkan oleh doktor dan pakar patologi, serta bukan akibat perbuatan sendiri.
- Punca sebenar kematian masih dalam siasatan pihak hospital.
- Polis menyiasat gangguan terhadap doktor forensik mengikut Seksyen 506, 186 dan 189 Kanun Keseksaan; siasatan berterusan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan dan akan dikemukakan bersama syor polis untuk pertimbangan AGC.
“Dua perkara yang boleh saya sahkan ialah terdapat kecederaan fizikal pada mangsa yang disahkan oleh doktor dan pakar patologi, serta kecederaan itu bukan disebabkan perbuatan sendiri.
“Bagaimanapun, punca kematian masih dalam siasatan pihak hospital,” katanya dalam satu sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.
Sementara itu, polis turut menyiasat laporan seorang doktor pakar forensik yang didakwa diganggu sekumpulan peguam. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506, 186 dan 189 Kanun Keseksaan.
“Saya mengesahkan polis telah menerima laporan berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut tiga seksyen, iaitu Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan, Seksyen 186 kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, serta Seksyen 189 berkaitan ugutan terhadap penjawat awam.
“Siasatan masih dijalankan dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian,” katanya lagi.
Noorizwan Zulkefly sebelum ini ditahan di IPD Cheras berhubung siasatan beberapa kesalahan bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Kanun Keseksaan.
Pada 30 September lalu, Noorizwan dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.52 pagi, 1 Oktober.
Seramai 14 individu termasuk doktor, ahli keluarga mangsa dan tiga peguam telah dirakam keterangan setakat ini.
Datuk M. Kumar berkata, polis masih mengambil keterangan beberapa individu lain, termasuk ahli keluarga mangsa, bagi melengkapkan siasatan.