
KULAI, 2 November – Pengguna media sosial diingatkan supaya berwaspada terhadap taktik penipuan yang menggunakan visual janaan kecerdasan buatan (AI) bagi memanipulasi kisah sedih untuk meraih simpati dan kutipan derma palsu.
- Berwaspada terhadap penipuan yang menggunakan visual janaan AI untuk memanipulasi cerita sedih dan kutipan derma palsu.
- Semak fakta terlebih dahulu sebelum menderma; jangan biarkan emosi dimanipulasi untuk tujuan penipuan.
- MCMC menerima aduan dan akan menurunkan kandungan penipuan serta mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan gambar dan nama.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menegaskan, semakan fakta perlu dibuat sebelum menyalurkan sebarang sumbangan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Saya tahu netizen kita ramai yang baik hati, mahu bantu orang susah, tetapi jangan biarkan orang jahat salah guna sifat lembut hati kita.
“Jadi berhati-hati dan buat semakan fakta dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kulai Besar, di sini.
Mengulas lanjut, Teo berkata, kementeriannya turut menerima aduan daripada individu yang mendakwa gambar dan nama mereka disalah guna tanpa kebenaran bagi tujuan kutipan derma.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), katanya, memandang serius isu berkenaan dan akan mengambil tindakan termasuk menurunkan kandungan berunsur penipuan sekiranya menerima aduan.
Terdahulu, beberapa hantaran dipercayai janaan AI tular di media sosial dengan memaparkan situasi sedih serta kod QR akaun bank tertentu bagi mendapatkan sumbangan orang ramai.
Visual berkenaan dikesan sebagai janaan AI selepas pengguna media sosial mendapati terdapat ketidakselarasan dan unsur tidak logik pada imej yang dikongsi.