
KUALA LUMPUR, 2 November – Perkembangan dasar industri nadir bumi (REE), bilangan pesakit obesiti dan diabetes menerima rawatan GLP-1 RA serta pencapaian terkini kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, antara perkara yang menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
- Pertanyaan mengenai kerangka dasar industri nadir bumi (REE) dan potensi pembangunan industri hiliran kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
- Soalan tentang rawatan GLP-1 RA untuk pesakit obesiti dan diabetes, dana disalurkan serta keberkesanan inisiatif Belanjawan 2026.
- Pertanyaan mengenai kemampuan pengimbas AI di terminal kargo mengesan barangan berbahaya dan langkah mengelakkan AI menjadi asas tunggal pelepasan kargo.
- Permintaan maklumat tentang pencapaian kempen Tahun Melawat Malaysia dari segi ketibaan pelancong, pendapatan dan keberkesanan promosi antarabangsa.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, pada sesi soal jawab, Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan perkembangan kerangka dasar bagi industri REE termasuklah potensi pembangunan industri hiliran.
Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) pula meminta Menteri Kesihatan menyatakan bilangan pesakit obesiti dan diabetes yang telah menerima rawatan GLP-1 RA di bawah inisiatif Belanjawan 2026 serta jumlah dana yang disalurkan ke fasiliti kesihatan.
Beliau juga ingin tahu sama ada inisiatif kerajaan menyediakan rawatan itu melalui Belanjawan 2026 berkesan untuk mengurangkan kes obesiti dan diabetes.
Turut menarik perhatian ialah soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas-Kuala Kangsar) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sejauh mana kemampuan semasa pengimbas berteknologi tinggi berasaskan kecerdasan buatan (AI) di terminal kargo sedia ada dalam mengesan penyeludupan barangan berbahaya (DG) dan langkah proaktif yang akan dilaksanakan bagi memastikan keputusan sistem AI tidak menjadi satu-satunya asas pelepasan sesuatu kargo.
Selain itu, Manndzri Nasib (BN-Tenggara) pula meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan pencapaian terkini kempen TMM 2026 dari segi jumlah ketibaan pelancong asing, jumlah pendapatan negara serta keberkesanan strategi promosi yang telah dilaksanakan di peringkat antarabangsa.
Usai sesi soal jawab lisan, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan dan jawapan menteri bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2027) Peringkat Jawatankuasa.
Menurut takwim Dewan Rakyat, perbahasan Belanjawan 2027 Peringkat Jawatankuasa bermula hari ini hingga 26 November. – BERNAMA