
NEW DELHI, 1 November- Puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun di ibu negara India pada Ahad bagi mendesak Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya meletakkan jawatan berhubung semakan semula daftar pemilih yang didakwa memihak kepada parti pemerintah.
- Rahul Gandhi memimpin bantahan terhadap semakan daftar pemilih yang pembangkang dakwa memberi kelebihan kepada BJP.
- Lebih 133 juta nama dilaporkan digugurkan, pengkritik kata ia menjejaskan golongan minoriti terutamanya komuniti Islam.
- Suruhanjaya Pilihan Raya dan BJP nafikan berat sebelah, berkata semakan untuk buang rekod pendua, pengundi mati dan entri palsu.
Himpunan diketuai pemimpin parti Kongres, Rahul Gandhi itu susulan pertikaian politik berhubung proses semakan daftar pemilih yang menurut pembangkang memberi kelebihan kepada Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.
Kedua-dua BJP dan Suruhanjaya Pilihan Raya menafikan dakwaan berkenaan.
Gandhi berkata penunjuk perasaan tidak akan menerima penyingkiran nama daripada daftar pemilih, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan hak rakyat.
“Ini merupakan pencurian suara setiap rakyat India,” katanya.
Menurut angka yang dilaporkan media India dan dirujuk pembangkang dalam dokumen mahkamah, lebih 133 juta nama telah dikeluarkan daripada daftar pemilih.
Pengkritik mendakwa penyingkiran itu memberi kesan tidak seimbang kepada golongan minoriti khususnya masyarakat Islam.
Bagaimanapun, pihak berkuasa pilihan raya berkata semakan itu bertujuan menghapuskan rekod pendua, pengundi yang telah meninggal dunia dan entri palsu.
Pemimpin kanan BJP, Jagat Prakash Nadda menyifatkan himpunan itu sebagai “drama yang dirancang rapi oleh mereka yang telah tewas dan berulang kali ditolak rakyat”.
Seorang peserta, Nandita, 46, mendakwa namanya digugurkan daripada daftar pemilih walaupun telah mengundi sejak berusia 18 tahun.
“Satu-satunya pilihan ialah turun ke jalanan secara aman,” katanya. -AFP