
KUALA LUMPUR, 1 November – Sukan bukan sekadar platform menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi instrumen penting dalam membina empati, disiplin dan semangat berpasukan dalam kalangan warga kerja.
- Sukan membina empati tinggi dalam kalangan warga kerja.
- Penglibatan sukan memperkukuh disiplin diri dan meningkatkan keberkesanan pelaksanaan tugas.
- Aktiviti sukan memupuk semangat berpasukan serta budaya kerja kolektif.
- Penganjuran kejohanan mengeratkan silaturahim, memperkukuh organisasi untuk perkhidmatan penyiaran terbaik.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, penglibatan dalam aktiviti sukan mampu membentuk warga kerja yang lebih sihat dan berdisiplin, sekali gus meningkatkan keberkesanan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Sukan salah satu instrumen terbaik untuk kita membina empati yang tinggi, selain daripada budaya gaya hidup sihat dan memberi penekanan kepada aspek kesihatan yang baik. Kalau badan sihat, otak cerdas, kita buat kerja baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarah Penyiaran 2026 di IWK Eco Park, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Menurut Datuk Ashwad, sukan turut menjadi medium terbaik dalam membentuk disiplin diri serta memperkukuh kekuatan pasukan, sekali gus memupuk budaya kerja secara kolektif dalam organisasi.
Katanya, nilai kerjasama dan semangat berpasukan yang diterapkan menerusi aktiviti sukan amat penting kerana setiap warga kerja saling memerlukan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan tugas.
Beliau berkata, penganjuran aktiviti sukan bukan hanya memberi manfaat kepada warga RTM, sebaliknya mempunyai matlamat lebih besar dalam memperkukuh organisasi demi memberikan perkhidmatan penyiaran terbaik kepada masyarakat.
“Saya melihat kepada instrumen sukan ini sebagai medium terbaik untuk kita membentuk disiplin diri. Disiplin diri ini adalah untuk kita membina disiplin dalam membentuk kekuatan pasukan secara keseluruhannya, dan itu penting.
“Sebab itu, bola ini salah satu daripadanya selain daripada sukan-sukan lain yang kita anjurkan.
“Yang paling utama adalah bukan mengenai kita. Yang paling utama adalah mengenai masyarakat, mengenai penonton, pendengar setia RTM dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Sebanyak 10 pasukan daripada pelbagai bahagian dan unit RTM menyertai kejohanan yang julung kali dianjurkan itu sebagai platform mengeratkan silaturahim serta menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan warga penyiaran berkenaan.
STR KAJANG FC muncul juara selepas menewaskan BKP FC 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung dalam suasana hujan renyai, namun tetap berlangsung penuh meriah.
Sementara itu, pasukan mewakili Bahagian Berita Ehwal Semasa (BES), Slayer FC menduduki tempat keempat selepas tewas kepada URB FC menerusi penentuan sepakan penalti 2-1.