Iran beri amaran perang baharu dengan AS mungkin lebih lama

(Foto fail) Dron dilancarkan oleh tentera Iran untuk menyerang pangkalan Amerika Syarikat di UAE dan Bahrain/ AFP

TEHRAN, 1 November- Iran memberi amaran bahawa sebarang perang baharu dengan Amerika Syarikat (AS) mungkin berlarutan lebih lama berbanding konflik terdahulu, susulan ancaman Presiden Donald Trump untuk menyerang sasaran yang masih berbaki di negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurucakap IRGC Hossein Mohebbi memberi amaran konflik dengan AS tidak akan terhad kepada kawasan geografi tertentu.
  • Ketua keselamatan Mohsen Rezaei terima surat daripada Naib Presiden AS JD Vance untuk rundingan, namun belum memberi maklum balas.
  • Tehran menetapkan syarat rundingan: pembebasan aset Iran yang dibekukan, penamatan sekatan laut terhadap pelabuhannya, dan hentikan perang di semua medan.
  • Konflik bermula 28 Februari selepas serangan AS-Israel; Tehran lancarkan peluru berpandu dan dron, manakala sekutu bersenjata terlibat di Lubnan dan Yaman.

Jurucakap tentera Iran, Mohammad Akraminia berkata Washington tidak akan dapat menentukan tempoh atau syarat penamatan perang sekiranya konflik kembali tercetus.

“Perang yang berpotensi berlaku pada masa depan mungkin berlangsung lebih lama berbanding konflik terdahulu,” katanya menerusi televisyen kerajaan Iran.

Trump sebelum ini berkata AS masih perlu menangani satu atau dua sasaran di Iran, namun tindakan itu boleh dilakukan dalam tempoh 10 minit.

Beliau turut merujuk Pickaxe Mountain, yang dipercayai menempatkan kompleks nuklear bawah tanah.

Sementara itu, jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Hossein Mohebbi memberi amaran bahawa konflik dengan AS tidak akan terbatas kepada kawasan geografi tertentu.

Ketua keselamatan Iran, Mohsen Rezaei pula berkata beliau menerima surat daripada Naib Presiden AS, JD Vance bagi menghidupkan semula rundingan, namun belum memberikan maklum balas.

Tehran sebelum ini menetapkan beberapa syarat untuk rundingan termasuk pembebasan aset Iran yang dibekukan di luar negara, penamatan sekatan laut AS terhadap pelabuhannya serta penamatan perang di semua medan.

Konflik bermula pada 28 Februari susulan serangan AS-Israel terhadap Iran. Tehran kemudian melancarkan serangan peluru berpandu dan dron di rantau itu, manakala kumpulan bersenjata sekutunya turut terlibat dalam pertempuran di Lubnan dan Yaman.

Penasihat diplomatik kepada Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Anwar Gargash berkata negaranya berharap usaha diplomatik dapat mencapai kemajuan, namun tetap bersedia menghadapi kemungkinan terburuk. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.