
PAYA RUMPUT, 1 November – Program Ziarah Kasih wajar dijadikan aktiviti rutin wakil rakyat bagi mendekati masyarakat serta memahami isu dan keperluan penduduk setempat.
- Program memberi peluang wakil rakyat bertemu dan mendekati masyarakat setempat.
- Membantu mengenal pasti permasalahan kesihatan dan kebajikan yang memerlukan perhatian.
- Memungkinkan wakil rakyat menyantuni dan memahami individu yang berdepan masalah kesihatan dan kebajikan.
- Memudahkan penelaahan isu sistemik untuk dicadangkan penyelesaian di peringkat dasar.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada wakil rakyat bertemu masyarakat, malah membantu mengenal pasti permasalahan berkaitan kesihatan dan kebajikan yang memerlukan perhatian.
“Program ini penting untuk kita mendekati, menyantuni dan memahami isu yang dihadapi masyarakat, khususnya individu yang berdepan masalah kesihatan dan kebajikan.
“Melalui pendekatan ini, kita dapat meluangkan masa untuk meneliti dengan lebih mendalam bukan sahaja masalah individu, tetapi juga isu yang lebih bersifat sistemik atau memerlukan penyelesaian di peringkat dasar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyertai Program Ziarah Kasih di Taman Paya Rumput Permai di sini hari ini.