
WASHINGTON, 31 Oktober – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilaporkan merancang untuk mengusir lebih 150 pendatang Afghanistan pulang ke negara asal mereka menerusi Pakistan.
- Kumpulan hak asasi dan aktivis bimbang pengusiran boleh membahayakan nyawa pendatang Afghanistan.
- Penerbangan pertama bagi proses pengusiran dijangka berlepas seawal Isnin.
- Antara yang bakal diusir termasuk keluarga warga Afghanistan yang pernah membantu tentera AS sebelum kejatuhan Kabul.
- AS tiada saluran terus, Pakistan akan mengendalikan pemindahan dan pernah mengarahkan tindakan tegas terhadap pelarian tanpa visa.
Laporan media AS, langkah kontroversial itu mencetuskan kebimbangan mendalam dalam kalangan kumpulan hak asasi dan aktivis kemanusiaan yang memberi amaran bahawa tindakan tersebut boleh membahayakan nyawa golongan berkenaan.
“Penerbangan pertama bagi proses pengusiran tersebut dijangka berlepas seawal Isnin ini,” jelas laporan berkenaan.
Menurut pertubuhan bantuan AfghanEvac, sebahagian daripada pendatang yang bakal diusir merangkumi ahli keluarga kepada warga Afghanistan yang pernah berkhidmat dan membantu tentera AS sebelum kejatuhan Kabul ke tangan Taliban pada Ogos 2021.
Memandangkan AS tidak mempunyai saluran terus untuk menguruskan pengusiran ke Afghanistan, pihak berkuasa Pakistan dilaporkan akan mengendalikan proses pemindahan pelarian sebaik sahaja mereka tiba di rantau berkenaan.
Kerajaan Pakistan sebelum ini mengarahkan tindakan tegas terhadap pelarian Afghanistan yang tidak mempunyai visa sah berikutan hubungan diplomatik dan keselamatan antara Islamabad dan Taliban yang semakin tegang akibat insiden pertempuran sempadan.
Presiden AfghanEvac, Shawn VanDiver mengecam keras tindakan kerajaan AS yang dilihat sengaja menguruskan pengusiran tersebut pada minggu Pilihan Raya Pertengahan Penggal AS dijalankan.
Setakat ini, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS mahupun pihak berkuasa Taliban belum mengeluarkan sebarang maklum balas rasmi berhubung isu berkenaan.