
SHAH ALAM, 31 Oktober – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kini gering akibat dijangkiti virus Influenza A dan dinasihatkan berehat selama lima hingga tujuh hari bagi membolehkan baginda pulih sepenuhnya.
- Dua doktor peribadi, Datuk Dr Anuar Onah dan Datuk Dr Tan Hui Meng, mengesan jangkitan selepas baginda alami demam panas dan kelemahan badan.
- Doktor menilai baginda kemungkinan dijangkiti semasa menghadiri majlis keramaian dan berinteraksi dengan orang ramai, termasuk di kawasan terbuka.
- Istiadat Jubli Perak serta pengurniaan darjah negeri ditangguhkan kepada 7 Nov dan Istana meminta pihak terlibat maklum serta merakamkan penghargaan.
Istana Alam Shah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa jangkitan itu dikesan oleh dua doktor peribadi baginda, Datuk Dr Anuar Onah dan Datuk Dr Tan Hui Meng, selepas Sultan Sharafuddin mengalami demam panas serta kelemahan anggota badan sejak pagi semalam.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan penilaian doktor, baginda berkemungkinan dijangkiti virus berkenaan ketika menghadiri majlis keramaian dan berinteraksi dengan orang ramai, termasuk di kawasan terbuka.
“Keadaan kesihatan Sultan Selangor kini beransur pulih, namun baginda masih mengalami demam.
“Sehubungan itu, doktor yang merawat menasihatkan baginda supaya berehat dan tidak menghadiri sebarang majlis sepanjang tempoh lima hingga tujuh hari bagi membolehkan baginda pulih sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.
Susulan perkembangan tersebut, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor yang dijadualkan berlangsung esok (1 Nov) ditangguhkan kepada 7 Nov ini.
Istana Alam Shah turut meminta semua pihak yang terlibat mengambil maklum mengenai perubahan tarikh berkenaan serta merakamkan penghargaan atas kerjasama dan perhatian yang diberikan.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesembuhan segera kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta melimpahkan kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada baginda,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA