GP Malaysia: Bagnaia hadapi masalah tayar seawal pusingan ketiga

Francesco Bagnaia/ RTM

SEPANG, 31 Oktober- Juara dunia dua kali, Francesco Bagnaia mengakui masalah kehausan tayar belakang seawal pusingan ketiga menjejaskan perlumbaannya sebelum berjaya menamatkan perlumbaan pecut Grand Prix (GP) MotoGP Malaysia 2026 di tempat keenam di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hujan sedikit membantu Bagnaia kekal dalam kelompok enam teratas apabila semua pelumba mula berhati-hati.
  • Bagnaia memulakan perlumbaan dari petak ke-10 selepas beraksi dalam sesi Kelayakan 1 (Q1).
  • Pasukan tidak membuat sebarang perubahan tetapan jentera antara sesi kelayakan dan perlumbaan; dia bakal mulakan perlumbaan utama esok dari barisan keempat.

Pelumba Ducati Lenovo itu berkata titisan hujan yang membasahi beberapa bahagian litar membantunya mengekalkan kedudukan dalam kelompok enam teratas selepas berdepan kesukaran mengawal jentera.

“Nasib baik hujan mula turun sedikit kerana pada pusingan ketiga, tayar belakang saya sudah haus sepenuhnya. Keadaan itu membantu saya kekal dalam kelompok enam teratas.

“Perlumbaan memang mencabar, tetapi apabila semua pelumba mula berhati-hati kerana hujan, saya dapat mengekalkan tunggangan yang lebih konsisten,” katanya.

Bagnaia memulakan perlumbaan dari petak ke-10 selepas beraksi dalam sesi Kelayakan 1 (Q1) pada sebelah pagi.

Beliau berkata pasukan tidak melakukan sebarang perubahan pada tetapan jentera antara sesi kelayakan dan perlumbaan pecut.

Keputusan di tempat keenam itu membolehkan Bagnaia mengutip empat mata penting menjelang perlumbaan utama 20 pusingan yang dijadual berlangsung esok, dengan pelumba Itali itu sekali lagi bakal memulakan saingan dari barisan keempat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.