
SEPANG, 31 Oktober- Bintang MotoGP Jepun, Ai Ogura bertekad bangkit memburu podium pada perlumbaan utama Grand Prix (GP) Malaysia esok selepas menamatkan perlumbaan pecut di tempat keempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini
- Perubahan cuaca selepas lima hingga enam pusingan menjejaskan rentak Ogura pada litar kering.
- Pada hujan, dia dipintas oleh Pedro Acosta, Marc Marquez dan Marco Bezzecchi.
- Ogura akui perlu menyesuaikan diri dengan cepat kerana pesaing lebih pantas ketika basah.
- Pasukan akan meneliti prestasi sesi hujung minggu untuk tingkatkan persiapan menjelang perlumbaan utama.
Pelumba Trackhouse MotoGP itu berkata perubahan keadaan cuaca ketika perlumbaan pecut menjejaskan rentaknya selepas berjaya menguasai kelompok hadapan pada lima hingga enam pusingan awal.
“Di atas litar kering pada lima hingga enam pusingan awal, saya rasa rentak kami cukup bagus untuk berada di depan. Tetapi selepas hujan turun, saya tidak cukup pantas untuk menjarakkan diri daripada kelompok pelumba dan tiga pelumba berjaya memintas saya di penghujung perlumbaan.
“Saya perlu menyesuaikan diri dengan keadaan seperti itu dengan lebih cepat, tetapi mereka melakukan tugas yang lebih baik dan saya lebih perlahan. Esok ada satu lagi peluang,” katanya.
Ogura yang memulakan perlumbaan pecut dari petak keempat pada awalnya berjaya mengambil alih pendahuluan sebelum dipintas Pedro Acosta, Marc Marquez dan Marco Bezzecchi ketika hujan mula membasahi beberapa bahagian litar.
Mengulas keadaan permukaan Litar SIC yang mencabar, Ogura berkata catatan masa yang direkodkan menunjukkan pelumba masih mampu mencatat prestasi kompetitif meskipun berdepan keadaan berkenaan.
“Memang benar keadaannya agak mencabar, namun jika dilihat catatan masa, kami sangat hampir dengan catatan yang dibuat sejak dua hingga tiga tahun lepas. Rasanya agak pelik, tetapi catatan masa tetap ada.
“Keadaan yang ada ini tidak boleh kita ubah, jadi saya cuba sesuaikan diri untuk esok,” katanya.
Menjelang perlumbaan utama 20 pusingan esok, Ogura berkata pasukannya akan meneliti prestasi sepanjang sesi hujung minggu ini bagi meningkatkan persiapan, dengan podium menjadi sasaran utama.
“Kami perlu belajar daripada semua sesi yang dilalui sepanjang minggu ini dan buat yang lebih baik, itu sasarannya. Podium adalah sasaran terbesar kami, jadi kami akan buru sasaran tersebut,” katanya.