PBB tamatkan misi politik di Somalia selepas 3 dekad

Foto RTM

NAIROBI, 31 Oktober – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengakhiri misi politiknya di Somalia selepas tamat tempoh peralihan selama dua tahun, sekali gus menutup tirai operasi pembangunan keamanan badan antarabangsa itu di negara Afrika Timur berkenaan selama lebih tiga dekad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak berkuasa Somalia mencapai kemajuan ketara walaupun cabaran keselamatan masih berterusan.
  • Misi bermula sebagai UNPOS pada 1995 dan menjadi UNSOM pada 2013 untuk sokong pemulihan demokrasi serta kedaulatan undang-undang.
  • Pada Mei 2024 Presiden Mohamud memohon penamatan; UNSOM dijenamakan semula sebagai UNTMIS, ditafsir sebagai permulaan bab baharu.
  • Al-Shabaab masih kuasai banyak kawasan tengah; pemotongan pembiayaan AS menjejaskan operasi ketenteraan menjelang pilihan raya dan krisis politik.

Penutupan misi tersebut dibuat berikutan kemajuan ketara yang dicapai oleh pihak berkuasa Somalia dalam usaha pemulihan negara, walaupun masih wujud cabaran keselamatan yang berterusan.

Misi bantuan keselamatan dan politik itu mula bertapak menerusi Pejabat Politik PBB untuk Somalia (UNPOS) pada 1995, sebelum ditukar kepada Misi Bantuan PBB di Somalia (UNSOM) oleh Majlis Keselamatan PBB pada 2013.

Langkah itu bagi menyokong pemulihan demokrasi dan kedaulatan undang-undang berikutan konflik perang saudara berpanjangan.

Pada Mei 2024, Presiden Somalia Hassan Sheikh Mohamud telah memohon penamatan misi tersebut sebelum bersetuju dengan tempoh peralihan dua tahun iaitu UNSOM dijenamakan semula sebagai Misi Bantuan Peralihan PBB di Somalia (UNTMIS).

“Hari ini bukanlah penamat kepada perkongsian antara PBB dan Somalia, sebaliknya ia menandakan pengakhiran satu babak dan permulaan babak baharu,” kata Pegawai Bertanggungjawab UNTMIS, Raisedon Zenenga, dalam satu kenyataan media.

Penamatan misi ini berkuat kuasa ketika kumpulan tentera bersekutu Al-Qaeda, Al-Shabaab masih menguasai sebahagian besar kawasan di tengah Somalia walaupun pelbagai kempen ketenteraan antarabangsa dijalankan.

Situasi keselamatan kini semakin meruncing berikutan tindakan Amerika Syarikat (AS) memotong pembiayaan kewangan terhadap misi logistik utama PBB di negara berkenaan yang menjejaskan operasi ketenteraan menentang kumpulan pemberontak.

Penamatan peranan PBB ini berlaku menjelang Pilihan Raya Parlimen dan Presiden Somalia yang dijadualkan berlangsung pada Mei depan di tengah tiga krisis keselamatan dan pertikaian politik dengan pihak pembangkang.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.