GP Malaysia: Acosta juarai perlumbaan pecut

Pedro Acosta

SEPANG, 31 Oktober- Pelumba Sepanyol, Pedro Acosta menjuarai perlumbaan pecut Grand Prix (GP) MotoGP Malaysia 2026 selepas menewaskan Marc Marquez dan Marco Bezzecchi dalam saingan 10 pusingan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cuaca tidak menentu; bendera putih dikibarkan pada pusingan kedua, membenarkan pelumba menukar jentera mengikut kondisi litar.
  • Pemegang petak pertama Alex Marquez terjatuh di selekoh ke-14 dan menamatkan perlumbaan lebih awal.
  • Ai Ogura memimpin kelompok hadapan sebelum diserang pada empat pusingan terakhir, akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Acosta daripada pasukan Red Bull KTM Factory Racing mencatat masa 20 minit 4.09 saat untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama, diikuti Marquez daripada Ducati Lenovo Team yang ketinggalan 0.578 saat, manakala Bezzecchi daripada Aprilia Racing di tempat ketiga, dengan jurang 1.310 saat.

Perlumbaan berlangsung dalam keadaan cuaca tidak menentu apabila bendera putih dikibarkan pada pusingan kedua susulan hujan di beberapa bahagian litar, sekali gus membenarkan pelumba menukar jentera mengikut keadaan cuaca.

Pemegang petak pertama, Alex Marquez daripada BK8 Gresini Racing MotoGP, terjatuh di selekoh ke-14, sekali gus menamatkan perlumbaannya lebih awal.

Insiden itu membuka ruang kepada Ai Ogura daripada pasukan Trackhouse MotoGP untuk bersaing di kelompok hadapan sebelum Acosta melancarkan serangan ketika perlumbaan berbaki empat pusingan, memintas Ogura untuk merampas pendahuluan.

Marc Marquez kemudian memintas Ogura untuk menduduki tempat kedua, manakala Bezzecchi mengambil tempat ketiga selepas memintas pelumba Jepun itu di selekoh kesembilan. Ogura menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Kemenangan itu memberikan Acosta 12 mata, manakala Marquez meraih sembilan mata menerusi kedudukan kedua.

Fabio Di Giannantonio menamatkan perlumbaan di tempat kelima, diikuti Francesco Bagnaia di tempat keenam. Brad Binder menduduki tempat ketujuh, Diogo Moreira kelapan dan Enea Bastianini kesembilan.

Perlumbaan Grand Prix utama sebanyak 20 pusingan dijadual berlangsung di Litar SIC Sepang, esok.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.