
SUNGAI PETANI, 31 Oktober- Semua fasiliti bagi penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun depan, kata Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
- Kerajaan peruntuk RM240 juta melalui Belanjawan 2027 untuk memperkukuh persiapan Malaysia sebagai tuan rumah.
- Persiapan fasiliti melibatkan empat kluster penganjuran: Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.
- Pencarian sukarelawan dilancarkan 5 Disember dengan sasaran penyertaan sekurang-kurangnya 15,000 orang.
Beliau berkata persiapan fasiliti melibatkan empat kluster penganjuran iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.
Kerajaan memperuntukkan RM240 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh persiapan Malaysia sebagai tuan rumah dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan penganjuran kedua-dua temasya itu menjadi antara yang terbaik pernah dianjurkan negara.
“Paling penting, kita nak pastikan bahawa penganjuran ini adalah merupakan penganjuran yang terbaik dan juga mengharumkan nama negara kita ke persada dunia, khususnya di peringkat ASEAN dan juga global,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANI Kita (PMK) Sidam di Pejabat Penghulu Mukim Sidam Kiri, di sini, hari ini.
Dr Mohammed Taufiq, yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata pencarian sukarelawan bagi temasya berkenaan akan dilancarkan pada 5 Disember ini, dengan sasaran penyertaan 15,000 orang atau lebih.
Sukan SEA ke-34 dijadual berlangsung di Malaysia dari 18 hingga 29 September 2027, membabitkan 43 jenis sukan dan 473 acara.
Dalam perkembangan lain, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata program PMK Sidam menyaksikan penyaluran bantuan kebajikan kepada 100 penerima Bakul RAHMAH dan 65 mangsa ribut, selain sumbangan 12 unit tablet kepada golongan B40 menerusi inisiatif Sejahtera MADANI.
Katanya, program itu merupakan inisiatif kerajaan untuk mendekati rakyat, mendengar permasalahan mereka serta menyalurkan perkhidmatan dan bantuan secara langsung menerusi agensi berkaitan.
“Ini adalah merupakan satu inisiatif kerajaan untuk kita turun sendiri mendengar keluhan dan permasalahan rakyat dan tidak hanya mendengar, kita juga bawa turun agensi-agensi yang berkaitan kemudian kita membuka booth atau reruai yang menawarkan pelbagai servis dan juga inisiatif kerajaan dibawa terus kepada rakyat,” katanya.
Program yang dihadiri lebih 2,000 pengunjung itu turut menyediakan pelbagai perkhidmatan, antaranya Jualan RAHMAH, Jualan Agro MADANI, pemeriksaan kesihatan dan pergigian serta perkhidmatan gunting rambut secara percuma.
Penganjuran PMK 2026 bertemakan “Memaknai Harapan Rakyat” bertujuan memperluas akses masyarakat kepada perkhidmatan kerajaan dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan di peringkat akar umbi.