
SEPANG, 31 Oktober – Pelumba muda negara, Hakim Danish, mencuri tumpuan di hadapan penyokong sendiri selepas berjaya mengunci petak ketiga barisan hadapan bagi perlumbaan kelas Moto3 pada Grand Prix Motosikal Malaysia (GP Malaysia) 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini hari ini.
- Hakim mencatat masa 2 min 10.529 saat, hanya 0.133 saat di belakang pemegang petak pertama Maximo Quiles.
- Isu cengkaman tayar belakang yang dialami pada latihan berjaya diperbaiki selepas pasukan dan Abang Fahmi analisis data serta video.
- Tidak mahu letak sasaran tinggi; fokus kekal konsisten dari awal hingga ke garisan penamat dan mohon doa rakyat Malaysia.
Mewakili pasukan AEON Credit MT-Helmets MSi, Hakim mencatatkan masa 2 minit 10.529 saat pada sesi kelayakan, hanya dipisahkan 0.133 saat di belakang pemegang petak pertama dari Sepanyol, Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team).
Satu lagi slot di barisan hadapan disambar pelumba Red Bull KTM Ajo, Brian Uriarte, yang menduduki tempat kedua dengan catatan 2 minit 10.480 saat.
Hakim, 19, melahirkan rasa puas hati terhadap peningkatan jenteranya, terutama membabitkan isu cengkaman tayar belakang yang dialaminya semasa sesi latihan bebas pada Jumaat.
“Secara keseluruhan untuk hari ini saya sangat gembira dalam sesi kelayakan, berjaya mendapat petak ketiga untuk perlumbaan esok. Hari ini saya berasa lebih baik dengan tahap cengkaman berbanding semalam di mana saya agak bergelut.
“Bila tayar belakang ada lebih cengkaman, saya boleh menekan lebih lagi jentera tadi. Pasukan bekerja keras bersama Abang Fahmi (Zulfahmi Khairuddin), kami kerap berbincang, meneliti data serta video untuk mencari ruang penambahbaikan dan percaturan itu membuahkan hasil hari ini,” katanya.
Mengulas mengenai strategi perlumbaan esok, pelumba kelahiran Terengganu itu enggan meletakkan tekanan tinggi, sebaliknya mahu fokus mengekalkan konsistensi kelajuan perlumbaan dari awal hingga ke garisan penamat.
“Tugas masih belum selesai, untuk rentak perlumbaan esok saya rasa masih perlu diperbaiki terutama dari pertengahan sehingga ke penghujung saingan.
“Saya tidak mahu letak sasaran terlalu tinggi, cuma mahu buat yang terbaik, kekal tenang dan saya mohon seluruh rakyat Malaysia doakan kejayaan saya esok,” katanya lagi.
Barisan kedua perlumbaan esok akan diterajui David Almansa (Liqui Moly Dynavolt Intact GP) di petak keempat, diikuti Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo) di kedudukan kelima dan Matteo Bertelle (LEVEL UP – MTA) di petak keenam.
Perlumbaan sebenar kelas Moto3 GP Malaysia 2026 dijadualkan berlangsung pada Ahad di Litar Antarabangsa Sepang.