
SEPANG, 31 Oktober – Pemegang petak pertama kelas Moto3, Maximo Quiles, mengakui kehadiran pelumba muda negara, Hakim Danish, bakal menjadi antara ancaman terbesar yang perlu diawasi pada perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (GP Malaysia) 2026 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, pada Ahad.
- Quiles mewakili CFMOTO Gaviota Aspar Team, catat masa terpantas 2:10.396 dalam sesi kelayakan.
- Hakim Danish kunci petak ketiga, hanya ketinggalan 0.133 saat, menunjukkan daya saing tinggi.
- Cuaca panas di Sepang dijangka menguji ketahanan fizikal setiap pelumba pada perlumbaan esok.
Quiles, yang mewakili CFMOTO Gaviota Aspar Team, menguasai sesi kelayakan dengan catatan masa terpantas 2 minit 10.396 saat, manakala Hakim mencipta sensasi apabila mengunci petak ketiga barisan hadapan dengan hanya ketinggalan 0.133 saat.
Menyedari kelebihan Hakim beraksi di laman sendiri, Quiles yang merupakan pelumba kelahiran Sepanyol menyifatkan sokongan padu peminat tempatan akan menyuntik tonik tambahan buat anak jati Terengganu itu untuk tampil lebih agresif dan bertenaga sepanjang perlumbaan.
Ketika ditemui RTM, Quiles menegaskan pasukannya tidak boleh leka dan perlu sentiasa ‘memerhatikan’ setiap gerak-geri pelumba tuan rumah berkenaan.
“Ia sentiasa menyeronokkan berada di benua Asia apabila peminat begitu menyokong dan memberi banyak kekuatan kepada pelumba.
“Esok dia (Hakim) pasti akan tampil sangat kuat, dia akan merasai seluruh sokongan daripada peminat tempatan, jadi kami perlu sentiasa memerhatikannya,” katanya.
Mengulas mengenai prestasinya sendiri, Quiles berpuas hati dapat menyambar petak utama walaupun mengakui cuaca panas terik di Sepang bakal menguji ketahanan fizikal setiap pelumba.
“Sesi kelayakan berjalan sangat baik, kami meraih petak pertama dan saya sangat gembira. Esok adalah hari yang penting, dan kami mempunyai kelebihan untuk perlumbaan esok. Saya bersedia untuk memberi 100 peratus.
“Cuaca adalah agak panas, itu cabarannya, tetapi saya juga gemar berlumba dalam cuaca panas dan sudah pastinya sengit,” katanya lagi.
Barisan hadapan Moto3 esok bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara Quiles, Brian Uriarte (Red Bull KTM Ajo) di petak kedua, dan Hakim Danish yang membawa cabaran AEON Credit – MT Helmets – MSI dari petak ketiga.