Projek rintis perkongsian rangkaian penghantaran kurier dilaksana di Puchong

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berucap pada sambutan Hari Kurier Negara 2026 di Shah Alam / Foto RTM

SHAH ALAM, 31 Oktober – Projek rintis perkongsian rangkaian penghantaran jarak akhir (Last-mile Network Sharing) akan dilaksanakan di Puchong, Selangor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif bertujuan mengoptimumkan penggunaan rangkaian dan tenaga kerja sedia ada antara syarikat kurier.
  • Pendekatan ini meningkatkan kecekapan operasi kurier dan memberi manfaat terus kepada pembeli serta pengguna.
  • Pelan dimulakan sebagai projek rintis seperti telekomunikasi, diikuti pembangunan garis panduan oleh industri sendiri.
  • Industri menyokong anggaran 1.5 bilion penghantaran setahun dan kira-kira 120,000 tenaga kerja negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata insiatif itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan rangkaian dan tenaga kerja sedia ada antara syarikat kurier.

Menurutnya, pendekatan tersebut meningkatkan kecekapan operasi kurier sekali gus memberi manfaat kepada pembeli dan pengguna.

“Projek rintis ini yang akan dilaksanakan di Puchong menggunakan konsep bukti (proof of concept) selain, menyaksikan kerjasama lebih erat antara syarikat-syarikat kurier. Ini membolehkan syarikat kurier meneliti kaedah terbaik untuk melaksanakan perkongsian rangkaian secara meluas.

“Pendekatan sama pernah dilaksanakan bagi industri telekomunikasi, bermula dengan projek rintis sebelum menghasilkan garis panduan yang dibangunkan sendiri oleh industri,” katanya.

Datuk Seri Fahmi turut memaklumkan jumlah penghantaran bungkusan negara dianggarkan mencecah 1.5 bilion setahun, bersamaan kira-kira 2,800 bungkusan setiap minit.

Industri kurier negara turut disokong kira-kira 120,000 tenaga kerja di seluruh negara bagi memastikan kelancaran operasi penghantaran.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Kurier Negara 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), di sini, hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.