Jorge Martin tarik diri daripada GP Malaysia akibat kecederaan

Jorge Martin/ AFP

SEPANG, 31 Oktober – Harapan Jorge Martin untuk merebut kejuaraan dunia MotoGP menerima tamparan hebat apabila pelumba Sepanyol itu disahkan menarik diri daripada baki saingan Grand Prix (GP) Malaysia selepas mengalami kederaan pada pergelangan tangan pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Martin tiba di Kuala Lumpur dengan patah pergelangan tangan dari GP Australia.
  • Beliau hanya melengkapkan beberapa pusingan pada sesi petang dan pagi Sabtu.
  • Aprilia mengesahkan Martin menarik diri daripada baki GP Malaysia untuk pemulihan.
  • Keputusan itu memberi Marc Marquez kelebihan 10 mata, dengan tiga pusingan berbaki.

Martin tiba di Kuala Lumpur dengan kecederaan patah pergelangan tangan yang dialaminya ketika perlumbaan pecut Grand Prix Australia minggu lalu.

Pelumba Aprilia itu tidak mengalami sebarang masalah pada sesi latihan bebas pertama di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Jumaat, namun hanya mampu melengkapkan beberapa pusingan pada sesi petang dan pagi Sabtu.

Beliau tidak menyertai sesi kelayakan sebelum Aprilia mengesahkan menerusi satu kenyataan bahawa Martin menarik diri daripada baki perlumbaan GP Malaysia bagi meneruskan proses pemulihan kecederaan.

Penarikan diri juara dunia 2024 itu memberikan kelebihan besar kepada pendahulu kejuaraan yang juga juara bertahan, Marc Marquez dari pasukan Ducati.

Marquez kini mendahului Martin dengan kelebihan 10 mata dalam kedudukan kejuaraan dunia, dengan hanya tiga pusingan perlumbaan berbaki selepas GP Malaysia.

Martin kini berlumba dengan masa untuk pulih dan kembali beraksi pada GP Qatar yang dijadualkan berlangsung minggu depan.

Pengurus pasukan Aprilia Racing, Paolo Bonora berkata, keputusan menarik diri dibuat selepas Martin tidak mampu memberikan tekanan yang mencukupi ketika membrek.

“Kami memutuskan untuk menariknya daripada baki saingan hujung minggu ini.Beliau tidak dapat memberikan tekanan pada motosikal ketika membrek.

“Beliau akan pulang ke Sepanyol dan menilai keadaannya sebelum membuat keputusan mengenai penyertaan dalam GP Qatar dalam beberapa hari akan datang,” katanya.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.