YTL Construction raih tiga anugerah industri pembinaan

Yeoh Keong Yuan (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Rail Azmi Aziz (dua kiri) menerima Anugerah Projek Terbaik bagi kategori Infrastruktur – Kategori Besar pada MCIEA 2026 anjuran CIDB

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – YTL Construction meraih tiga anugerah utama industri pembinaan 2026 menerusi kejayaan pelaksanaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB).

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek SIPP-YTL JV dianugerahkan Anugerah Projek Terbaik (Infrastruktur Kategori Utama) pada MCIEA 2026.
  • Yeoh Keong Yuan menerima Anugerah Kontraktor Muda Cemerlang pada majlis sama.
  • YTL dinobatkan Syarikat Pembinaan Terbaik Tahun Ini (Infrastruktur Pengangkutan) oleh CIOB Malaysia 2026.
  • Meraih rekod 28 juta jam kerja selamat dan menggunakan BIM, dron serta LiDAR dalam perancangan serta pelaksanaan.

Pengarah Eksekutifnya, Yeoh Keong Yuan dalam satu kenyataan berkata, kejayaan menyiapkan projek berkenaan membuktikan keupayaan jurutera dan tenaga profesional teknikal tempatan dalam melaksanakan pembangunan infrastruktur rel yang kompleks dan berskala besar.

Beliau berkata demikian selepas projek kendalian usaha sama SIPP-YTL JV menerima Anugerah Projek Terbaik (Infrastruktur – Kategori Utama) pada Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2026 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Yeoh turut menerima Anugerah Kontraktor Muda Cemerlang pada majlis sama.

Pengarah Eksekutif YTL Construction, Yeoh Keong Yuan  (tiga dari kanan), menerima Anugerah Kontraktor Muda Cemerlang pada MCIEA 2026

YTL Construction juga menerima Anugerah Syarikat Pembinaan Terbaik Tahun Ini (Infrastruktur Pengangkutan) pada Anugerah Kecemerlangan Pembinaan CIOB Malaysia 2026 anjuran Chartered Institute of Building (CIOB) Malaysia.

“Pengiktirafan ini merupakan hasil komitmen dan kerjasama seluruh warga kerja syarikat, selain memperkukuh usaha membangunkan bakat tempatan, menerapkan teknologi baharu serta menyediakan infrastruktur yang memberi manfaat jangka panjang kepada negara.

“PLBEGJB bernilai RM8.9 bilion itu melibatkan pembinaan landasan sepanjang 192 kilometer dengan 11 stesen, sekali gus melengkapkan rangkaian landasan berkembar elektrik yang menghubungkan Padang Besar hingga Johor Bahru,” katanya.

Projek berkenaan turut membolehkan perjalanan menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru mengambil masa kira-kira empat jam 20 minit.

Selain meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan, pembangunan itu turut menyokong pertumbuhan ekonomi di sepanjang koridor selatan.

Pembinaannya merangkumi kerja kejuruteraan awam, struktur, landasan dan sistem kereta api yang kompleks, termasuk kerja berhampiran landasan sedia ada tanpa menjejaskan operasi tren penumpang dan kargo.

Projek itu turut merekodkan 28 juta jam kerja selamat dengan penggunaan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), dron dan LiDAR dalam perancangan serta pelaksanaan pembinaan.

Lebih 3,000 jurutera dan pakar teknikal tempatan terlibat dalam projek berkenaan yang turut menyediakan lebih 35,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan, dengan jumlah tenaga kerja mencecah hampir 10,000 orang.

Barisan penerima anugerah bergambar pada Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2026

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.