Ibu bapa diingatkan tidak lepas tangan, pantau didik anak – PM


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pihak lain, sebaliknya perlu memainkan peranan aktif dalam memantau, membimbing dan membentuk sahsiah mereka demi masa depan yang lebih terjamin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu bapa mesti memantau pendidikan, pergaulan dan aktiviti harian anak supaya mereka tidak terjebak pengaruh negatif.
  • Kerjasama keluarga penting dalam menangani masalah kesihatan mental dan autisme dalam kalangan belia.
  • Ibu bapa perlu membimbing, menunjukkan kasih sayang dan menerapkan nilai positif seperti solat, hormat guru dan disiplin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama ibu bapa dan institusi keluarga amat penting dalam menangani pelbagai cabaran yang dihadapi golongan muda, termasuk isu kesihatan mental dan autistik.

Menurut beliau, ibu bapa perlu mengambil tahu perkembangan anak-anak, termasuk aspek pendidikan, pergaulan dan aktiviti harian bagi memastikan mereka tidak terjebak dalam gejala negatif.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru ibu bapa supaya mengambil tanggungjawab, memantau anak-anak, menunjukkan kasih sayang dan membimbing mereka dengan baik.

“Saya bimbang tentang masa depan mereka sekiranya ibu bapa menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab itu kepada keadaan sekeliling tanpa memantau dan mendidik mereka,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan di sini, pada Jumaat.

Datuk Seri Anwar turut mengingatkan ibu bapa supaya menerapkan nilai-nilai positif dalam kehidupan anak-anak, termasuk menunaikan solat, mengulang kaji pelajaran, menghormati guru dan menghargai ibu bapa.

Katanya, usaha membentuk generasi yang berdisiplin dan berakhlak tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu bermula daripada institusi keluarga.

“Saya ingin berpesan kepada ibu bapa. Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kita membincangkan pelbagai isu, termasuk masalah kesihatan mental dan autisme yang perlu ditangani. Namun, kerjasama ibu bapa dan keluarga amat penting dalam usaha ini.

“Ada ibu bapa yang tidak mengetahui sama ada anak-anak mereka belajar, pulang lewat malam, menyiapkan kerja sekolah atau mula terjebak dengan dadah.

“Jadi, selain tuntutan supaya kerajaan mengambil tindakan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru ibu bapa supaya turut memikul tanggungjawab, mengambil tahu perkembangan anak-anak, membimbing mereka dan menunjukkan kasih sayang,” ujar beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.