
PAYA RUMPUT, 30 Oktober – Sebanyak 189 borang penamaan calon telah dibeli bakal calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setakat malam Khamis, dengan 45 daripadanya telah menjelaskan deposit bagi mengesahkan penyertaan dalam pilihan raya itu.
- Pengerusi SPR mengingatkan bakal calon hadir awal ke pusat penamaan bagi semakan dokumen teliti.
- Langkah ini penting untuk mengelakkan masalah yang boleh menjejaskan kelayakan calon bertanding.
- SPR menyeru penyokong mematuhi arahan pihak berkuasa demi proses penamaan calon aman dan tertib.
- Orang ramai diminta peka terhadap makluman penutupan jalan untuk melancarkan proses penamaan calon.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun mengingatkan, semua bakal calon supaya hadir lebih awal ke pusat penamaan calon esok bagi membolehkan semakan dokumen dilakukan dengan teliti.
Langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang masalah yang boleh menjejaskan kelayakan mereka untuk bertanding.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru para penyokong yang akan hadir esok (Sabtu) supaya mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Kita telah menyediakan peraturan yang bersesuaian bagi memastikan tiada sebarang gangguan, sekali gus membolehkan proses penamaan calon berlangsung dengan aman dan tertib,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan simulasi proses penamaan calon PRN Melaka di Pusat Penamaan Calon DUN Paya Rumput, Dewan Stadium Hang Jebat.
Orang ramai juga diingatkan untuk peka dengan sebarang makluman penutupan jalan bagi melancarkan proses penamaan calon.