
BUKIT KATIL, 30 Oktober – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan lima calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
- Pembahagian calon: PAS dan Parti Wawasan Negara masing-masing dua calon, GERAKAN satu.
- Calon termasuk Rafie Ahmad (Paya Rumput), Muhammad Ridzuan (Bukit Katil), Dr Mohd Yadzil (Bemban), Michael Gan (Ayer Keroh), Albert Kok (Kesidang).
- SPR tetapkan hari pengundian 14 November, penamaan calon 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.
Senarai calon diumumkan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di sini, semalam.
Daripada lima calon yang diumumkan, PAS dan Parti Wawasan Negara masing-masing mempertaruhkan dua calon, manakala GERAKAN menampilkan seorang calon.
Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, PN mempertaruhkan Rafie Ahmad daripada PAS.
Rafie, 58, merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Hang Tuah Jaya.
Di Bukit Katil, PAS menampilkan Muhammad Ridzuan Mohd Sarif, 42, yang pernah memegang jawatan Ketua Pemuda PAS Kawasan Hang Tuah Jaya serta Bendahari Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Bagi DUN Bemban, PN mencalonkan Dr Mohd Yadzil Yaakub, 48, daripada Parti Wawasan Negara.
Beliau mempunyai pengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Bemban bagi penggal 2021 hingga 2026.
Sementara itu, kerusi Ayer Keroh akan ditandingi Pengerusi GERAKAN Melaka, Datuk Seri Michael Gan, 66, yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat GERAKAN.
Bagi DUN Kesidang, PN menampilkan Albert Kok, 58, daripada Parti Wawasan Negara.
Beliau merupakan Timbalan Ketua Bahagian WAWASAN Kota Melaka serta Ahli Majlis Perhubungan WAWASAN Negeri Melaka.
DUN Melaka dibubarkan pada 23 September lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian, manakala penamaan calon berlangsung pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.