
KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Usaha kerajaan merancakkan pembangunan industri kreatif negara bukan bertujuan menggalakkan budaya hedonisme atau mengetepikan nilai agama, budaya dan jati diri masyarakat, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
- Kerajaan utamakan pembangunan seimbang antara ekonomi, industri kreatif serta sahsiah dan nilai kerohanian.
- Pengecualian duti hiburan mulai 2027 hanya untuk tiket filem dan teater tempatan di Wilayah Persekutuan.
- Permohonan persembahan artis asing diteliti JK-PUSPAL mengikut keselamatan, ketenteraman awam serta sensitiviti dan nilai masyarakat Malaysia.
- Industri kreatif meliputi filem, muzik, animasi, permainan digital, fesyen, kulinari; fokus pada pembangunan bakat dan pengkomersialan karya tempatan.
Beliau berkata Kerajaan MADANI sentiasa mengutamakan pembangunan seimbang antara kemajuan ekonomi, pengembangan industri kreatif serta pembentukan sahsiah dan nilai kerohanian masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan langkah pengecualian duti hiburan mulai 2027 tidak bermakna kerajaan melonggarkan kawalan terhadap penganjuran persembahan artis antarabangsa di negara ini.
“Pengecualian penuh duti hiburan ini adalah bagi tiket tayangan filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027.
“Setiap permohonan persembahan artis luar negara adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) menerusi syarat dan garis panduan yang perlu dipatuhi, termasuk aspek keselamatan, ketenteraman awam serta nilai dan sensitiviti masyarakat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.
Fahmi berkata agensi keselamatan termasuk Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia turut terlibat dalam JK-PUSPAL, selain Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang memberikan pandangan berkaitan aspek agama dan sensitiviti masyarakat Islam.
Dalam industri perfileman, beliau berkata kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) terus menggalakkan pembangunan filem tempatan, namun kandungan ditayangkan kepada umum masih tertakluk kepada penapisan Lembaga Penapis Filem (LPF) mengikut Akta Penapisan Filem 2002.
Beliau berkata pembangunan industri kreatif turut diseimbangkan dengan penganjuran pelbagai program keilmuan dan keagamaan seperti Majlis Ilmu MADANI, Forum Ilmuwan Malaysia MADANI serta Program Malaysia Bermunajat, termasuk program yang dihadiri dan dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Fahmi berkata ekonomi kreatif juga tidak terhad kepada hiburan, sebaliknya merangkumi bidang filem, muzik, seni persembahan, animasi, permainan digital, penerbitan sastera, fesyen dan kulinari yang berpotensi menjana pekerjaan, pendapatan serta pelaburan.
Justeru, beliau berkata sektor berkenaan perlu terus diperkukuh menerusi pembangunan bakat, penghasilan dan pengkomersialan karya tempatan serta peluasan akses ke pasaran antarabangsa bagi meningkatkan daya saing bakat dan harta intelek Malaysia.- BERNAMA