
PUTRAJAYA, 29 Oktober – Proses penghantaran pulang pelarian Myanmar akan diteruskan selagi tiada keputusan mahkamah yang menghalangnya.
- KDN dan KLN teruskan rundingan dengan Myanmar untuk mencari penyelesaian mengenai kumpulan pelarian seterusnya, selagi keputusan mahkamah tidak menghalang.
- Isu pelarian perlu diurus secara menyeluruh kerana memberi kesan kepada aspek ekonomi dan sosial.
- Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri; serahkan sebarang aduan kepada pihak berkuasa.
Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementeriannya dan Kementerian Luar (KLN) juga boleh meneruskan rundingan dengan pihak Myanmar bagi penghantaran pulang kumpulan kedua.
“Jadi dengan keputusan mahkamah bermaksud KDN dan KLN boleh terus berbincang dengan pihak Myanmar untuk meneruskan kumpulan yang kedua sehingga ada keputusan sebaliknya oleh mahkamah.
“Jadi biar jalur undang-undang yang buat keputusan. Sehingga ada keputusan sebaliknya, kita teruskan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini.
Menurut beliau, isu pelarian perlu diuruskan secara menyeluruh kerana turut memberi kesan dari aspek ekonomi dan sosial.
Pada masa sama, masyarakat diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap komuniti pelarian, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Rundingan dengan pihak Myanmar perlu diteruskan bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan,” tegas beliau lagi.