
JOHOR BAHRU, 28 Oktober – Penggunaan lebih 100 mesin pengimbas dan sistem pintu automatik (e-gate) berteknologi tinggi di Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura bakal memperkukuh kawalan keselamatan bagi mengekang ancaman jenayah rentas sempadan.
- Teknologi tinggi membolehkan pemeriksaan penumpang lebih cekap serta mengesan objek berbahaya dan usaha penyeludupan.
- Pemeriksaan keselamatan dilakukan secara bersasar berdasarkan profil risiko, termasuk pemeriksaan dari kepala hingga kaki bagi kategori berisiko tinggi.
- Latihan bersama Malaysia dan Singapura libatkan 28 kementerian dan agensi bagi mempertingkatkan penyelarasan keselamatan rentas sempadan.
Teknologi berkenaan membolehkan pemeriksaan penumpang dilaksanakan dengan lebih cekap, selain meningkatkan keupayaan pihak berkuasa mengesan objek berbahaya serta barangan yang cuba diseludup.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata demonstrasi mesin pengimbas yang dijalankan menunjukkan keupayaan teknologi itu mengesan objek pada badan seseorang, termasuk barangan yang cuba disembunyikan menggunakan bahan tertentu.
Beliau berkata pemeriksaan keselamatan akan dilaksanakan secara bersasar, khususnya terhadap penumpang dan barangan yang dikenal pasti berisiko tinggi berdasarkan profil keselamatan.
“Pemeriksaan kali ini bersifat bersasar, terutama bagi destinasi yang kita anggap sebagai berisiko tinggi.
“Jadi, pemeriksaan lebih ketat bermaksud head to toe. Kita periksa semua, sama ada penumpang atau barangan bagi kategori destinasi yang kita anggap berpotensi tinggi.
“Kita ada profiling, berdasarkan kes-kes yang telah berlaku.” katanya demikian selepas Majlis Penutupan Latih Amal Keselamatan RTS
Malaysia-Singapore Cross-Border Joint Exercise, Field Training Exercise (FTX) 2026 disini.
Latihan berkenaan bermula pada Mac lepas dengan penyelarasan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta membabitkan 28 kementerian dan agensi Malaysia.
Singapura pula diwakili Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Pasukan Polis Singapura (SPF) serta Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
RTS Link dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, sekali gus memerlukan persediaan keselamatan dan penyelarasan antara agensi kedua-dua negara bagi memastikan sebarang insiden dapat ditangani dengan berkesan.