
KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Sebanyak 510 syarikat sedang disiasat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana disyaki terbabit dalam aktiviti kartel tipuan bida melibatkan tender bernilai lebih RM3 bilion dalam sektor awam dan swasta.
- MyCC mengeluarkan Keputusan Cadangan Baharu pada 13 Oktober 2026 terhadap 16 perusahaan atas dakwaan kartel tipuan bida.
- Kes melibatkan pakatan dalam 30 tender pembekalan makanan, termasuk kontrak bagi sekolah dan institusi pengajian tinggi awam.
- Bukti termasuk penyelarasan dokumen tender, pertukaran maklumat harga bidaan, serta perkongsian sumber kewangan dan tenaga manusia.
- Sehingga kini MyCC telah mengambil tindakan terhadap 58 syarikat berkaitan tipuan bida dengan penalti berjumlah RM98.49 juta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan penguatkuasaan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan membanteras amalan kartel yang menjejaskan persaingan sihat dalam proses perolehan.
“Pada 13 Oktober 2026, MyCC telah mengeluarkan satu Keputusan Cadangan Baharu terhadap 16 perusahaan atas dakwaan penglibatan dalam aktiviti kartel tipuan bida.
“Kes-kes ini melibatkan unsur pakatan kartel oleh sejumlah perusahaan dalam 30 tender bagi pembekalan makanan termasuk bagi sekolah dan IPTA,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, tender berkenaan melibatkan 12 entiti sektor awam, terdiri daripada enam kementerian, tiga IPTA, dua Jabatan Agama Islam Negeri dan sebuah badan berkanun persekutuan, dengan nilai keseluruhan perolehan RM108.3 juta.
“Bukti yang diperoleh MyCC sepanjang penyiasatan termasuk penyelarasan penyediaan dokumen tender secara berpusat, pertukaran maklumat berkaitan harga bidaan yang dicadangkan serta perkongsian sumber kewangan dan tenaga manusia antara perusahaan terbabit.
“Bagaimanapun, perusahaan berkenaan masih diberi peluang mengemukakan representasi kepada MyCC sebelum keputusan akhir dibuat selepas mengambil kira representasi yang dikemukakan serta bukti yang diperoleh sepanjang penyiasatan,” katanya.
Secara keseluruhan, MyCC telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 58 syarikat berkaitan kes tipuan bida, merangkumi keputusan cadangan dan keputusan akhir, dengan jumlah penalti sebanyak RM98.49 juta.