PRN Melaka: 28 pusat penamaan calon dibuka mulai 9 hingga 10 pagi Sabtu ini

Gambar hiasan

PUTRAJAYA, 29 Oktober – Menjelang hari penamaan calon (HPC) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan agar kertas penamaan calon diserahkan dari pukul 9 hingga 10 pagi kepada pegawai pengurus pilihan raya di 28 pusat penamaan calon.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kertas penamaan mesti disertai calon, pencadang dan penyokong; atau mana-mana dua; atau mana-mana seorang.
  • Bakal calon perlu mengisi borang dan membuat semakan awal dengan pejabat pegawai pengurus atau pejabat PRN Melaka.
  • Bayar deposit lebih awal dan bawa resit pembayaran pada hari penamaan calon sebagai bukti.
  • Calon tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturan PBT; larangan alat muzik, pembesar suara dan berada dalam 50 meter sempadan.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata kertas penamaan calon hendaklah disertakan dengan calon, pencadang dan penyokong; atau mana-mana dua orang daripada mereka; atau mana-mana seorang daripada mereka.

Beliau berkata bakal-bakal calon yang ingin bertanding perlu mengisi borang dan membuat semakan awal dengan pejabat pegawai pengurus atau pejabat PRN Melaka sebelum HPC serta membuat pembayaran deposit lebih awal.

“Resit pembayaran deposit tersebut hendaklah dibawa pada HPC sebagai bukti pembayaran.

“Manakala bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertas penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya adalah tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) dan undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Ini termasuklah larangan penggunaan alat muzik atau pembesar suara dan menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan yang ditetapkan,” ujarnya.

SPR menyeru kepada bakal calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PBT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses penamaan calon yang dilaksanakan berjalan baik dan lancar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.