
PUTRAJAYA, 29 Oktober – Semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diarah meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
- Ketua jabatan mesti pastikan anggota boleh digerakkan, aset dan peralatan disemak, serta penyelarasan operasi diperkemas.
- Persediaan awal ditekankan; tindakan mesti diurus sebelum bencana supaya bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.
- METMalaysia ramal tiga hingga lima episod hujan lebat antara November hingga Januari; berisiko banjir di kawasan sungai dan rendah, orang ramai dinasihatkan peka.
Arahan itu bagi memastikan anggota, aset dan operasi berada pada tahap siap siaga sekiranya berlaku bencana.
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Awang Alik Jeman berkata, ketua jabatan perlu memastikan anggota bersedia digerakkan, selain memeriksa aset dan peralatan serta memperkemas penyelarasan operasi.
“Jangan ada bot yang bila start, enjinnya tak boleh start. Jangan ada isu penyelarasan siapa yang nak pergi, macam mana operasi kita dan sebagainya. Kita pun tak tahu bila berlaku,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini.
Tambah beliau, persediaan perlu dilakukan lebih awal dan tidak hanya selepas berlaku bencana bagi memastikan bantuan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.
MTL 2026 yang bermula Selasa lalu dijangka berterusan hingga Mac tahun depan.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan diramal berlaku antara November 2026 hingga Januari 2027.
Keadaan itu berpotensi menyebabkan banjir terutama di kawasan berhampiran sungai dan kawasan rendah.
Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka terhadap ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan METMalaysia.