
GAZA CITY, 29 Oktober – Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam serangan Israel di Gaza pada Rabu.
- Serangan dron di Rafah membunuh tiga orang dan mencederakan beberapa mangsa, termasuk yang parah.
- Hospital tempatan menerima tiga jenazah dan 15 mangsa cedera; seorang cedera kemudian meninggal dunia.
- Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan lebih 1,500 maut sejak gencatan senjata tahun lalu, angka dianggap boleh dipercayai oleh PBB.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Bassal berkata tiga orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera, termasuk yang parah, dalam serangan dron di Rafah, selatan Gaza.
Menurutnya, sebuah hospital tempatan menerima tiga jenazah dan 15 mangsa cedera.
Seorang daripada mangsa yang cedera kemudian meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya.
Seorang lagi rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam serangan di Khan Yunis, juga di selatan Gaza.
Serangan itu berlaku sehari selepas rakyat Israel mengundi dalam pilihan raya sengit yang tidak menghasilkan pemenang jelas.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 1,500 orang terbunuh di wilayah itu sejak gencatan senjata berkuat kuasa tahun lalu.
Angka berkenaan dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Sejak tercetusanya insiden 7 Oktober 2023, Israel melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran yang memusnahkan sebahagian besar Gaza dan mengorbankan lebih 74,500 orang. – AFP