27 projek pusat data wujudkan 4,053 peluang pekerjaan

Menteri Digital, Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Sebanyak 4,053 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan menerusi 27 projek pusat data yang diluluskan di bawah Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF), dengan 89.21 peratus daripada jawatan berkemahiran tinggi dijangka diisi rakyat Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 3,500 jawatan berkemahiran tinggi dijangka dalam kejuruteraan elektrik dan mekanikal, rangkaian, keselamatan siber serta operasi dan penyelenggaraan pusat data.
  • Projek pusat data tertakluk kepada syarat minimum 30 peratus kandungan tempatan untuk mengembangkan penyertaan pembekal dan rantaian bekalan tempatan.
  • Pembangunan mesti menangani kecukupan tenaga dan air, kecekapan serta kelestarian melalui penyelarasan kementerian dan pemantauan bersepadu DCTF.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 3,523 jawatan melibatkan bidang berkemahiran tinggi termasuk kejuruteraan elektrik dan mekanikal, rangkaian, keselamatan siber serta operasi dan penyelenggaraan pusat data.

“Bagi memastikan pelaburan ini memberikan limpahan ekonomi kepada negara, projek yang diluluskan di bawah DCTF tertakluk kepada syarat minimum 30 peratus kandungan tempatan.

“Syarat kandungan tempatan tersebut bertujuan memperluas penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan, termasuk perkhidmatan kejuruteraan, penyelenggaraan, rangkaian dan penyelesaian teknologi,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, pengendali pusat data turut digalakkan melaksanakan program pembangunan pembekal tempatan bagi menyokong pemindahan teknologi serta meningkatkan keupayaan syarikat tempatan menyertai rantaian nilai industri berkenaan.

Dalam pada itu, Gobind berkata pembangunan pusat data perlu mengambil kira kecukupan bekalan serta kecekapan dan kemampanan penggunaan sumber tenaga dan air, dengan mengambil kira keperluan pengguna sedia ada serta kapasiti infrastruktur negara.

Sehubungan itu, penyelarasan bersepadu antara kementerian dengan agensi berkaitan, termasuk Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) penting bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan pembangunan industri pusat data saling melengkapi.

“DCTF akan terus menyelaras pemantauan bersama agensi teknikal berkaitan bagi memastikan setiap projek mematuhi syarat kelulusan, khususnya dari segi kecukupan bekalan tenaga dan air serta kecekapan penggunaan sumber.

“Pembangunan industri pusat data perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan dengan mengambil kira kapasiti sumber negara, kepentingan awam serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan industri berkenaan bukan sahaja dinilai berdasarkan nilai pelaburan yang dibawa masuk, malah turut mengambil kira sumbangannya kepada ekonomi negara tanpa menjejaskan keperluan dan kepentingan rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.